ARTIKEL

Memori terpendam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Pada malam 11 Julai lalu, saya menghadiri satu majlis yang pada pandangan orang lain mungkin sekadar sebuah pertemuan semula.

Namun bagi saya, ia jauh lebih daripada itu. Ia bukan sekadar reunion bekas rakan sekelas dan sekolej yang pernah bersama-sama pada 1976-1977, tetapi sebuah pertemuan dengan masa lalu.

Ya, dengan usia yang telah berlalu tanpa dapat ditahan.

Apabila jemputan itu diterima, perkara pertama yang terlintas di fikiran bukanlah tentang pakaian yang akan dipakai atau gambar yang bakal dimuat naik ke media sosial.

Sebaliknya, saya tertanya-tanya, bagaimana agaknya rupa kami semua sekarang? Dapatkah saya mengingati nama rakan-rakan saya? Siapakah yang masih dapat saya kenali dalam sekelip mata, dan siapakah pula yang memerlukan beberapa ketika sebelum wajah yang berubah itu disambungkan semula dengan memori yang terpendam hampir lima dekad lamanya?

Lebih daripada itu, saya tertanya-tanya sama ada kami masih mampu ketawa terhadap kisah-kisah lama yang pernah kami kongsi ketika belajar, makan dan menghabiskan hari-hari di Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang, yang lebih mesra dikenali sebagai Tanjong Lobang. 

Ternyata jawapannya ialah ya. Ketawa itu masih sama, cuma nadanya sedikit berbeza. Dahulu, ketawa itu lahir daripada impian yang sedang dibina; kini ia lahir daripada pengalaman yang telah ditempuhi. Pengalaman dan pertemuan malam itu memungkinkan kami untuk menghangatkan lagi hubungan masa silam. Namun, saya kesal tidak ramai rakan sekelas saya yang dapat hadir pada malam itu. Saya membayangkan suatu hari nanti, kebanyakan kami dapat bersua seperti 50 tahun lalu.

Masa sememangnya mempunyai sifat yang aneh. Ia bergerak tanpa bunyi, tetapi meninggalkan kesan yang begitu nyata. Setengah abad bagai tidak terasa berlalu. Seolah-olah baru semalam kami duduk di dalam bilik darjah yang sama, berbincang tentang tugasan, menghadapi peperiksaan, berkongsi pelbagai cabaran dan cita-cita. 

Tanpa disedari, hampir 50 tahun telah berlalu. Rambut yang dahulu hitam kini dipenuhi uban atau sudah tidak berambut lagi. Langkah yang dahulu pantas, kini lebih berhati-hati. Wajah yang dahulu tegang memikirkan masa depan, kini lebih damai menerima hakikat kehidupan.

Usia mengajar manusia dengan cara yang tidak pernah mampu diajarkan oleh buku. Ketika berumur 20 tahun, kita melihat masa depan sebagai sebuah hamparan yang luas tanpa penghujung. Hampir semuanya kelihatan mungkin. Kita berbicara tentang cita-cita dengan penuh keyakinan, seolah-olah kehidupan boleh dirancang sepenuhnya mengikut kehendak sendiri. Namun semakin jauh perjalanan hidup ditempuhi, semakin kita sedar bahawa kehidupan tidak pernah bergerak dalam satu garis lurus. Ia lebih menyerupai sungai yang berliku, kadangkala tenang, kadangkala deras. Malah, ada waktunya membawa kita ke tempat yang tidak pernah kita duga dan rancangkan.

Semasa di kolej, dunia kami sebenarnya amat sederhana. Jadual kuliah, tugasan, peperiksaan, kegiatan kokurikulum dan kehidupan di asrama memenuhi hari-hari kami. Kemudahan ketika itu jauh berbeza daripada yang dinikmati generasi hari ini. Makanan juga begitu sederhana, apatah lagi hidup begitu mencabar, dengan wang saku yang sukar datang. Miri ketika itu sudah terasa cukup besar bagi kami, walaupun jika dibandingkan dengan hari ini, banyak yang telah berubah.

Namun barangkali kerana segala keterbatasan itulah hubungan sesama kami menjadi lebih akrab. Kami belajar mengenali seseorang bukan melalui gambar profil atau status media sosial, tetapi melalui perbualan yang panjang, melalui buku yang dipinjamkan, nota yang dikongsi, dan waktu-waktu yang dihabiskan bersama menikmati angin petang di Tanjong Lobang sambil memandang laut yang seolah-olah tidak berpenghujung. Persahabatan ketika itu dibina melalui kehadiran dan keikhlasan, bukan sekadar sambungan Internet.

Ironinya, ketika itu, kami menyangka kehidupan sebenar hanya akan bermula selepas tamat belajar. Rupa-rupanya kami silap. Kehidupan sebenar sebenarnya sedang berlaku ketika kami menjalani hari-hari yang kelihatan begitu biasa itu. Kebahagiaan sering hadir dalam bentuk yang sederhana, tetapi kita hanya menyedarinya setelah ia menjadi kenangan.

Selepas meninggalkan kolej sesudah menduduki peperiksaan HSC pada 1977, setiap orang mula menempuh perjalanan yang berbeza. Ada yang berjaya diterima masuk ke universiti dan mencapai cita-cita yang pernah diimpikan. Ada yang menemui kejayaan dalam bidang yang langsung tidak pernah dirancang. Ada yang mengharungi kegagalan sebelum bangkit semula dengan lebih matang. Ada yang berpindah negeri atau negara, membina keluarga, membesarkan anak-anak, menjaga ibu bapa yang semakin uzur, dan belajar menerima kehilangan insan yang paling disayangi.

Di situlah saya memahami bahawa kejayaan sebenarnya mempunyai banyak wajah. Ketika muda, kita sering mengukurnya melalui jawatan, gelaran dan pendapatan. Namun usia mengajar bahawa kejayaan yang paling besar mungkin tidak pernah tercatat dalam mana-mana sijil atau anugerah. Kejayaan ialah apabila seseorang mampu membesarkan keluarga dengan kasih sayang, mengekalkan integriti ketika bekerja, menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan balasan, serta menutup tirai kerjaya dengan hati yang lapang dan jiwa yang tenteram.

Pada malam reunion itu, saya melihat bukan sekadar wajah-wajah lama, tetapi kisah dan ceritera kehidupan yang tertulis pada setiap garis usia. Di sebalik setiap senyuman pasti tersimpan pengalaman yang tidak diketahui orang lain. Ada yang pernah bertarung dengan penyakit, ada yang kehilangan pasangan hidup, ada yang membesarkan anak istimewa, ada yang menanggung kesedihan dalam diam, dan ada yang sedang menikmati hari-hari persaraan dengan penuh kesyukuran. Kami semua pernah bermula di bilik kuliah yang sama, tetapi kehidupan telah membawa kami ke pelabuhan yang berbeza-beza.

Pengalaman itu mengingatkan saya bahawa manusia tidak wajar dinilai hanya berdasarkan apa-apa yang kelihatan di mata. Setiap orang memikul beban yang tidak sentiasa diceritakan. Ada kisah di sebalik senyuman, ada luka di sebalik ketenangan, dan ada perjuangan yang tidak pernah diketahui sesiapa. Barangkali, sebab itulah usia yang semakin meningkat menjadikan seseorang lebih cenderung untuk mendengar daripada bercakap, lebih mudah memahami daripada menghakimi, dan lebih rela memaafkan daripada mencari kesalahan.

Saya juga menyedari bahawa masa bukan sekadar mengubah wajah, tetapi turut mengubah makna kehidupan. Ketika muda, kita mengejar masa kerana menyangka ia sentiasa mencukupi. Apabila usia semakin lanjut, kita mula menyedari bahawa masa ialah nikmat yang paling adil pembahagiannya, tetapi paling tidak dapat dikembalikan. Wang yang hilang boleh dicari semula, pangkat boleh diganti, tetapi satu hari yang telah berlalu tidak akan pernah kembali.

Topik perbualan kami pada malam itu juga mencerminkan perubahan tersebut. Kami tidak lagi berbicara tentang keputusan peperiksaan atau peluang pekerjaan. Sebaliknya kami berkongsi cerita tentang cucu-cucu, kesihatan, hobi selepas bersara, tempat-tempat yang masih ingin dikunjungi, dan perkara-perkara kecil yang kini terasa jauh lebih bermakna daripada segala cita-cita besar ketika muda. 

Namun, di sebalik kemeriahan itu, ada juga ruang yang dipenuhi kesunyian. Ada kerusi yang kosong. Ada nama yang hanya disebut dalam doa kerana pemiliknya telah pergi mendahului kita. Ketiadaan mereka menjadi peringatan yang paling mendalam bahawa kehidupan ini bukan sekadar tentang siapa yang paling jauh melangkah, tetapi juga tentang menghargai siapa yang masih berjalan bersama kita.

Barangkali itulah hikmah sebenar sebuah reunion. Ia bukan sekadar mengimbau nostalgia atau mengembalikan kenangan silam. Ia mengajar bahawa hidup ini sentiasa bergerak, bahawa setiap pertemuan ialah anugerah, dan setiap perpisahan ialah sebahagian daripada aturan yang tidak dapat dielakkan. Ia juga mengingatkan bahawa akhirnya manusia tidak akan diingati kerana jawatan yang pernah disandang atau kekayaan yang pernah dimiliki, tetapi kerana kebaikan yang pernah ditinggalkan dan bertapak kukuh dalam hati orang lain.

Malam itu, saya pulang dengan satu kesedaran dan kepiluan yang sukar diungkapkan. Kita sebenarnya tidak pernah mampu menghentikan perjalanan masa. Tetapi kita sentiasa mempunyai pilihan untuk mengisi masa yang masih berbaki dengan lebih bermakna. Selagi masih diberi kesempatan untuk bertemu, berbual, ketawa dan saling mendoakan, itulah kekayaan yang sebenar. Kerana pada akhirnya, kehidupan bukan diukur oleh panjangnya usia, tetapi oleh makna yang berjaya kita berikan kepada usia itu.

• Dato Dr Jeniri Amir, anak kampung dari Mukah, berjaya dalam peperiksaan Senior Cambridge, dan dipilih untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang pada 1976 hingga lulus HSC.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan