Trending

Menara tambahan Internet di Puncak Borneo

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Beberapa menara tambahan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan dibina di Puncak Borneo, susulan gangguan penggunaan Internet yang teruk di kawasan tersebut.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin berkata, tindakan itu merupakan satu inisiatif daripada pihaknya untuk membantu dan menyediakan hak telekomunikasi infrastruktur asas kepada rakyat.

“Sesungguhnya saya amat mengambil berat akan keadaan ini sejak awal lagi kerana ia menjejaskan pelbagai pihak yang memerlukan perkhidmatan internet terutama semasa tempoh PKP dan PKPP.

“Saya telah menerima pelbagai aduan mengenai masalah yang dihadapi termasuk kelajuan Internet yang sangat perlahan,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurut beliau, masalah tersebut berpunca daripada penggunaan Internet tanpa had yang melibatkan ramai pengguna untuk tujuan tertentu.

Willie yang merupakan Ahli Parlimen Puncak Borneo itu turut menyatakan bahawa pihaknya telah berbincang dengan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Adiman Ajem untuk menangani isu tersebut.

“Dengan sukacitanya saya memaklumkan bahawa penambahan menara dalam peringkat penilaian tender.

“Malah, Puncak Borneo juga akan mempunyai projek menara tambahan antara 16 hingga 19 menara di bawah Kerajaan Sarawak iaitu Digitalisation and TeleCommunication Innitiative yang masih dalam perancangan oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA),” jelasnya lagi.

Antara kawasan yang menerima inisiatif tersebut ialah Kampung Puak (Bau), Kampung Danu, Skim Penempatan Semula Empangan Bengoh, Kampung Abang, Kampung Kamug dan beberapa kawasan baharu yang lain.

Diharapkan usaha yang dijalankan dapat menangani isu-isu yang dihadapi, di samping dapat meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat selama ini.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru