KUCHING: Mendiang Tan Sri James Jemut Masing akan disemadikan di Taman Peringatan Nirvana di sini, pada petang Rabu ini.
Sebelum disemadikan, upacara memberi penghormatan terakhir akan diadakan di Persatuan Gereja-Gereja Sarawak di Jalan Stampin pada jam 8.30 hingga 9.30 pagi untuk orang kenamaan dan dikuti sesi untuk orang awam mulai jam 9.30 pagi hingga 2.00 petang.
Orang ramai yang datang dinasihati untuk berpakaian kemas dan juga perlu menjalani ujian RTK Covid-19.
Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri menghembuskan nafas terakhir pada usia 72 tahun kira-kira jam 7.05 pagi hari ini di Pusat Perubatan Pakar Normah di sini.
Mendiang disahkan meninggal akibat komplikasi jantung dan ujian Covid-19 beliau yang terakhir adalah negatif.
Mendiang meninggalkan isteri, Puan Sri Dato Corrine Masing serta empat orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.





