KUCHING: Pembangunan semula Balai Polis Kota Sentosa dilaksanakan melalui kerjasama sektor swasta yang mewajibkan pemaju membina kemudahan baharu sebelum menyerahkan bangunan serta hak milik tanah kepada kerajaan negeri tanpa sebarang bayaran.
Pengerusi SUPP Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata, proses pembangunan di Lot 108, Blok 17, Daerah Tanah Kuching Tengah itu diluluskan mengikut peruntukan Kanun Tanah Sarawak dan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.
Beliau berkata, pemaju turut diwajibkan menjelaskan premium tanah sepenuhnya kepada kerajaan negeri, sekali gus menjana hasil negeri selain menanggung kos pembinaan kemudahan polis baharu.
“Bangunan balai polis sedia ada berada dalam keadaan uzur dan tidak lagi sesuai untuk keperluan operasi semasa, manakala kuarters berhampiran turut mengalami kerosakan serta terbiar sekian lama.
“Pelaksanaan projek ini bertujuan menggantikan premis sementara berkenaan dengan kompleks lebih moden dan lengkap bagi meningkatkan keupayaan operasi keselamatan di daerah Padawan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa IPD Padawan sudah mengambil langkah awal sejak Jun 2025 bagi memastikan perkhidmatan kepolisan tidak terganggu sepanjang kerja pembinaan dijalankan.
Katanya, permohonan turut dikemukakan kepada empat agensi berkaitan bagi mendapatkan kelulusan menyewa premis sementara di Lot 4807, Lot Induk 4730, Blok 233, Daerah Tanah Kuching Utara.
Wilfred berkata, DAP Sarawak sepatutnya menyemak fakta serta prosedur pentadbiran sebelum membuat dakwaan bahawa berlaku penyerahan tanah kerajaan untuk kepentingan pihak swasta.
“Saya juga ingin mengingatkan bahawa urusan kepolisan dan pembangunan infrastruktur keselamatan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencabar Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen supaya memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan peruntukan Persekutuan bagi menaik taraf kemudahan polis di kawasan berkenaan, selain menggesa DAP menghentikan polemik politik yang boleh mengelirukan masyarakat.






