Mengambil pekerja asing langkah terakhir

KUCHING: Isu kekurangan pekerja tempatan bagi nelayan Persatuan Kotak Penangkap Ikan Sungai Apong akan disampaikan kepada Kementerian Pertanian, kata Ahli Parlimen Bandar

Kuching Dr Kelvin Yii. Kelvin berkata, beliau akan menyampaikan isu tersebut kepada Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub dan pada sidang Parlimen pada 9 Mac nanti.

Jelasnya, Persatuan Kotak Penangkap Ikan Sungai Apong telah membuat pelbagai usaha seperti iklan untuk mengambil pekerja tempatan namun ramai yang tidak berminat. Tambahnya, rata-rata para nelayan ini berusia lingkungan 60 tahun ke atas, justeru sektor tersebut amat memerlukan pekerja.

Katanya lagi, beliau memohon pertimbangan khas bagi persatuan ini yang memegang lesen A dan B untuk mengambil pekerja asing untuk bekerja di bawah mereka. “Saya akan membincangkan isu ini kepada Menteri Pertanian jika persatuan ini masih tidak dapat mengupah pekerja tempatan, mengambil pekerja asing ini adalah sebagai langkah terakhir.

“Kita mahu melindungi sumber dan mata pencarian tempatan namun kita akan membincangkan pertimbangan ini bersama-sama menteri untuk membantu nelayan ini,” ujarnya selepas penyerahan sumbangan kepada Persatuan Kotak Penangkap Ikan Sungai Apong di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Adun Pending Violet Yong Wui Wui berkata, persatuan boleh mengemukakan bantuan Touch-Point daripada Jabatan Perikanan.

Menurutnya, nelayan-nelayan ini akan menerima bantuan RM500 ke RM1,500 untuk membeli peralatan menangkap ikan seperti jala, jaring, jaket keselamatan, peti sejuk dan peralatan yang berkaitan. Violet juga menggesa Kerajaan Sarawak untuk mempercepatkan bayaran bantuan RM300 kepada nelayan yang tidak dapat turun ke laut pada musim tengkujuh.

Suara Sarawak