ARTIKEL

Pangeran Ratu Dr. Raden Muhammad Tarhan sebagai panel penceramah jemputan.

Mengangkat Warisan Kesultanan Kalimantan Barat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Keunikan seni bina dan sejarah Kesultanan Kalimantan Barat menjadi tumpuan dalam Seminar Warisan Kesultanan Melayu: Seni Bina Istana Kesultanan Kalimantan Barat yang berlangsung di Auditorium Borneo Cultures Museum pada 14 Mei lalu.

Seminar yang berlangsung dari pukul 10.00 pagi hingga 1.00 petang itu dianjurkan oleh pelajar Tahun 3 Program Pengurusan Seni, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di bawah kursus GKP3253 Seminar Pengurusan Seni.

Khalayak berpeluang menambah pengetahuan mengenai sejarah dan warisan seni bina Kesultanan Kalimantan Barat.

Program tersebut merupakan salah satu usaha akademik dan budaya bagi memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap sejarah Kesultanan Kalimantan Barat serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan warisan budaya serantau.

Penganjuran seminar ini turut membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali hubungan sejarah dan budaya yang wujud antara Sarawak dan Kalimantan Barat, khususnya melalui perkembangan institusi kesultanan Melayu yang pernah memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti masyarakat di rantau Borneo.

Seminar berkenaan menampilkan tokoh dari Kalimantan Barat, iaitu Pangeran Ratu Dr. Raden Muhammad Tarhan, sebagai panel penceramah jemputan.

Beliau berkongsi pelbagai maklumat berkaitan sejarah awal Kesultanan Kalimantan Barat, perkembangan institusi kesultanan serta keunikan seni bina istana yang menjadi lambang kemegahan pemerintahan Melayu pada suatu ketika dahulu.

Dalam sesi perkongsian tersebut, peserta didedahkan kepada ciri-ciri seni bina tradisional yang terdapat pada istana kesultanan, termasuk elemen reka bentuk, susun atur ruang, fungsi bangunan serta nilai simbolik yang terkandung dalam setiap struktur.

Perbincangan turut menyentuh aspek pemeliharaan warisan budaya sebagai usaha memastikan khazanah sejarah terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Menurut Ketua Projek, Nor Saedah Anual, seminar ini bukan sahaja berperanan sebagai platform perkongsian ilmu, malah menjadi medan pembelajaran praktikal kepada pelajar dalam menguruskan sesebuah program secara profesional.

Melalui penganjuran seminar ini, ujarnya, pelajar berpeluang mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengurusan acara, komunikasi profesional, dokumentasi program serta kerjasama berpasukan.

“Antara objektif utama seminar ini adalah untuk meningkatkan pemahaman peserta terhadap warisan seni bina tradisional Istana Kesultanan Kalimantan Barat, memberikan pendedahan mengenai nilai sejarah, budaya dan estetika seni bina Melayu tradisional, serta memupuk kesedaran tentang kepentingan usaha pemeliharaan warisan budaya dalam kalangan masyarakat.

“Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila berjaya menghimpunkan lebih 100 peserta yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan UNIMAS, selain penyertaan masyarakat setempat yang mempunyai minat terhadap sejarah, seni bina dan warisan budaya Melayu,” katanya kepada Suara Sarawak.

Penganjuran seminar ini membuktikan komitmen UNIMAS dalam memperkasakan pendidikan warisan dan memperluaskan pemahaman masyarakat terhadap kepentingan sejarah serta budaya serantau.

Diharapkan program seumpama ini dapat terus menjadi platform berkesan dalam memupuk penghargaan terhadap khazanah warisan Melayu serta menggalakkan usaha pemuliharaan warisan budaya untuk generasi akan datang.

Sesi soal jawab bersama para peserta.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU