Menghasilkan sagu secara tradisional

MUKAH: Cara memproses bijian sagu tradisional tidak akan berubah menjadi moden kerana sehingga ini belum ada mesin dicipta untuk memasak bijian sagu menggunakan belanga.

Bijian sagu yang dibuat daripada tepung lemantak yang telah diadun dengan campuran yang sesuai yang merupakan makanan ruji kepada masyarakat Melanau sejak lebih 120 tahun lalu.

Malah, makanan ini masih kekal sebagai hidangan utama di meja-meja makan masyarakat terutamanya bagi masyarakat Melanau di Kampung Tellian dan sekitar Daerah Mukah.

Bijian sagu juga diproses menggunakan cara tradisional kebiasannya diadun dengan beberapa campuran seperti ‘dabo padai’ juga dikenali sebagai hampas padi halus, santan kelapa, kelapa parut, garam dengan perasa yang sesuai de-ngan jenis bijian sagu yang ingin dibuat.

Terdapat dua jenis bijian sagu yang sangat terkenal di daerah Mukah iaitu sagu biasa dan sagu Tupek (sagok benyoh). Ia dimasak di atas periuk gergasi yang digelar sebagai Belanga oleh penduduk di sini.

Menurut pembuat dan pemilik Belanga, Bilun Guan, periuk yang digunakan untuk memasak bijian sagu dinamakan ‘Belanga’ dalam dialek Melanau di Kampung Tellian.

Untuk menghasilkan sesuatu bijian sagu, prosesnya memerlukan peralatan separti paka, takung, upak, kejangan dan batang kayu kering untuk menyediakan api untuk memasak yang dinyalakan di bawah belanga yang diperbuat daripada tanah liat.

Menurutnya, dahulu proses membuat bijian sagu sangat rumit dan mengambil masa yang lama.

“Sekarang zaman sudah berubah. Kalau nak dapatkan tepung lemantak untuk dibuat bijian sagu kebanyakkan mereka perlu membeli dari orang yang memproses atau yang menjual,” ujarnya.

Beliau menambah, kini bijian sagu yang lebih untuk kegunaan di rumah dan mereka menjualkannya dengan menggunakan sukatan tin ataupun disukat dengan menggunakan alat penimbang.

Suara Sarawak