ARTIKEL

Mengintai Beting Maro

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BARU-BARU ini, penganalisis politik, Dr. Hafizan Mohamad Naim iaitu pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyenaraikan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka menjadi perhatian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Lima kerusi berkenaan ialah Beting Maro, Lingga, Kuala Rajang, Muara Tuang dan Balingian.

Menurut beliau, kesemua kerusi DUN itu menarik perhatian berdasarkan perkembangan margin kemenangan dalam pilihan raya sebelum ini, selain kedudukan sokongan pembangkang dan dinamika politik setempat.

Namun begitu, daripada lima kerusi tersebut, Beting Maro mempunyai keunikan tersendiri.

Walaupun sering dilihat sebagai antara kerusi yang pernah menyaksikan persaingan sengit, khususnya membabitkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), kedudukan Beting Maro pada masa ini sebenarnya semakin memihak kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS), khususnya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Dr. Hafizan menyifatkan Beting Maro sebagai antara kawasan pilihan raya majoriti MelayuMelanau yang paling wajar diberi perhatian pada PRN akan datang.

“Dalam kalangan kawasan pilihan raya majoriti MelayuMelanau, Beting Maro merupakan kerusi paling jelas untuk diberi perhatian pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak semestinya bermaksud Beting Maro merupakan kerusi panas atau bakal berlaku perubahan besar.

Sebaliknya, ia lebih kepada pengiktirafan. Kerusi berkenaan mempunyai sejarah persaingan politik yang menarik, terutama antara parti pemerintah dengan pembangkang.

Jika diteliti keputusan tiga PRN lalu, trend Beting Maro sebenarnya memperlihatkan peningkatan yang cukup jelas terhadap kedudukan parti pemerintah.

Pada PRN 2011, parti pemerintah memenangi Beting Maro dengan majoriti hanya 391 undi, bersamaan margin sekitar 6.8 peratus.

Keadaan berubah dengan ketara pada PRN 2016 apabila majoriti meningkat kepada 1,707 undi atau 21.6 peratus.

Pada PRN 2021 pula, GPS terus mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 1,711 undi atau 23.4 peratus.

Angka tersebut memberi gambaran sokongan kepada pembangkang masih wujud, tetapi keupayaan untuk menterjemahkan sokongan itu kepada cabaran yang benarbenar mengancam kedudukan GPS dilihat semakin lemah.

Di sinilah saya secara peribadi melihat persoalan PAS di Beting Maro.

Beting Maro sebenarnya bukan lagi kerusi panas seperti gambaran yang mungkin cuba dibentuk oleh sesetengah pihak.

PAS sememangnya mempunyai sejarah persaingan di kerusi berkenaan dan masih mempunyai aspirasi untuk menjadikan Beting Maro sebagai kerusi sulungnya di Sarawak.

Namun, aspirasi itu masih jauh daripada realiti. Pada PRN 2021, Pesuruhjaya PAS Sarawak, Arifiriazul Paijo, yang bertanding di Beting Maro tewas kepada penyandang daripada GPS, Datuk Razaili Gapor dengan majoriti 1,711 undi. PAS kemudian meningkatkan kehadirannya di kawasan berkenaan menerusi pembukaan pusat khidmat dan pendekatan berkala kepada penduduk.

Usaha itu tidak boleh dipandang ringan kerana politik pilihan raya bukan hanya bergantung kepada keputusan pilihan raya sebelumnya.

Jentera parti, kehadiran akar umbi, isu setempat dan calon semuanya boleh mempengaruhi keputusan.

Namun, PAS berdepan satu persoalan besar: sejauh mana kehadiran tersebut mampu diterjemahkan kepada peningkatan undi yang mencukupi untuk menewaskan GPS?

Pada ketika ini, jawapannya masih belum kelihatan.

Sebaliknya, PBB sebagai tulang belakang GPS mempunyai beberapa kelebihan besar di Beting Maro.

Pertama ialah kekuatan organisasi dan jentera akar umbi yang telah lama bertapak.

Kedua ialah hubungan politik antara wakil rakyat, parti dengan masyarakat setempat yang dibina secara berterusan. Ketiga ialah faktor Kerajaan Negeri.

Dalam konteks Sarawak, PRN sering tidak hanya dilihat sebagai pertandingan antara calon, tetapi turut menjadi penilaian terhadap rekod Kerajaan Negeri secara keseluruhan.

GPS mempunyai kelebihan dari segi kedudukan sebagai kerajaan yang memerintah Sarawak serta keupayaan membawa agenda pembangunan, termasuk infrastruktur luar bandar, jalan raya, bekalan air, elektrik, telekomunikasi, pendidikan dan peluang ekonomi.

Bagi kawasan seperti Beting Maro yang mempunyai komuniti luar bandar dan memerlukan pembangunan berterusan, faktor ini boleh menjadi modal politik penting kepada GPS.

Tambahan pula, kestabilan politik Sarawak dan naratif pembangunan yang dibawa Kerajaan Negeri memberi kelebihan kepada GPS berbanding parti pembangkang yang perlu meyakinkan pengundi bahawa mereka mampu menawarkan alternatif yang lebih baik.

Kekuatan lain GPS ialah pendekatan politik Sarawak yang lebih berorientasikan isu tempatan.

Berbanding pertandingan yang terlalu tertumpu kepada politik nasional, GPS boleh mengetengahkan agenda autonomi Sarawak, pembangunan, hak Sarawak dan kepentingan masyarakat tempatan. Faktor calon juga tidak boleh diketepikan.

Jika pucuk pimpinan PBB memilih untuk menampilkan muka baharu yang lebih muda, berwibawa, dekat dengan masyarakat dan mempunyai rekod kerja yang baik, ia berpotensi memberikan nafas baharu kepada kempen GPS.

Namun, kelebihan tersebut akan menjadi kekuatan sebenar apabila segala janji politik ditunaikan.

Pengundi hari ini semakin kritikal. Mereka bukan sekadar mahu mendengar janji, tetapi mahu melihat hasil.

Justeru, prestasi wakil rakyat, keberkesanan penyelesaian isu tempatan dan keupayaan kerajaan memenuhi keperluan rakyat akan menjadi antara penentu penting.

Melihat kepada sokongan akar umbi ketika ini, populariti GPS/PBB di Beting Maro kelihatan begitu jelas. PAS boleh terus berusaha, membuka pusat khidmat, mendekati masyarakat dan membina jentera. Itu hakikat politik dan sememangnya perlu dilakukan jika mahu mencabar.

Tetapi berdasarkan trend keputusan pilihan raya, kekuatan organisasi, kedudukan GPS sebagai Kerajaan Negeri serta sokongan akar umbi yang ada, jalan PAS untuk menawan Beting Maro masih panjang. Maka, jika politik bergerak berdasarkan realiti semasa, Beting Maro bukanlah kerusi panas.

PAS mungkin terus menyimpan impian untuk menjadikan Beting Maro sebagai kerusi sulungnya di Sarawak, tetapi buat masa ini, impian itu masih belum cukup untuk menggugat dominasi PBB. Beting Maro mungkin kekal menjadi perhatian pada PRN akan datang.

Namun perhatian itu bukan semestinya kerana GPS berada dalam bahaya kehilangan kerusi.

Sebaliknya, perhatian utama ialah sama ada PAS mampu mengecilkan semula jurang yang semakin melebar atau sekali lagi terpaksa menerima hakikat bahawa Beting Maro masih kekal sebagai kubu GPS/ PBB.

Dalam politik, tiada kerusi yang benar-benar selamat.

Tetapi berdasarkan segala petunjuk yang ada, Beting Maro ketika ini masih lebih dekat kepada GPS daripada pembangkang.

Dan PAS, sekurangkurangnya buat masa ini, masih perlu menunggu lebih lama untuk menamatkan statusnya sebagai pencabar yang kempunan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU