Menjaga hak kebajikan hidupan liar

KUCHING: Cadangan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan Jabatan Hidupan Liar di Sarawak mendapat pelbagai sokongan orang awam khasnya golongan belia.

Penubuhan jabatan ini dilihat sebagai perkara positif oleh orang awam kerana dapat menjadi tarikan pelancong ke Sarawak melalui penjagaan habitat semula jadi sedia ada.

Pelajar Unimas, Muhammad Shahril Azrie, 21, berkata, cadangan penubuhan jabatan ini adalah bagus kerana dapat mengurangkan kepupusan haiwan liar di Sarawak.

Hal ini menurutnya kerana hutan di Sarawak begitu besar dan memerlukan penjagaan secara meluas oleh Kerajaan Negeri.

“Hutan di Sarawak ini begitu besar. Sayang sekali jika tidak dijaga dengan teliti kerana kita takut berlakunya kepupusan terhadap haiwan-haiwan eksotik di Sarawak.

“Maka, saya rasa penubuhan Jabatan Hidupan Liar adalah perlu dilakukan demi kebaikan bersama,” katanya kepada Suara Sarawak.

Selain itu, pelajar berasal dari Pulau Pinang, Irfan Arfif, 23, berkata, dia teruja melihat keindahan alam semula jadi di Sarawak dan menjelaskan penubuhan jabatan itu mampu menjaga hak kebajikan haiwan-haiwan liar tempatan khasnya pemburuan secara haram.

Katanya, memandangkan penjualan haiwan liar giat dilakukan, maka sudah semestinya pemantauan perlu dilakukan dengan lebih kerap agar bilangan haiwan liar di Sarawak tidak berkurangan.

“Bagi saya penubuhan jabatan ini penting bagi memantau aktiviti melibatkan hidupan liar secara terperinci. Kalau tidak dijaga, haiwan tersebut berkemungkinan berdepan dengan kepupusan,” tambahnya.

Bagi Mohamad Nazri, 22, berasal dari Kabong, penubuhan Jabatan Hidupan Liar Sarawak memberikan kesan positif kepada alam sekitar Sarawak.

“Penubuhan jabatan ini membolehkan pegawai tertentu berupaya mengawal habitat haiwan liar seperti buaya dan sebagainya.

“Malah, ia turut berupaya menetapkan kategori serta jenis-jenis habitat haiwan liar yang memberi risiko keselamatan kepada manusia sejagat,” katanya.

Dia berkata, penubuhan jabatan ini memberi manfaat kepada eko-sistem di Sarawak kerana pengawalan terhadap habitat liar terjaga dan mampu membendung pemburuan haram dengan lebih ketat.

Menurut Syahran Aiman, 22, berasal dari Kampung Menaul Serian bekata, Jabatan Hidupan Liar merupakan organisasi yang penting bagi mengekalkan keharmonian alam sekitar di Sarawak.

“Bukan sahaja mengawal jumlah haiwan liar, tetapi dapat membantu dalam memantau aktiviti penerokaan hutan yang tidak ber- tanggungjawab.

“Jabatan Hidupan Liar ini merupakan cadangan yang bagus dan patut dipergiatkan pada masa hadapan untuk generasi yang akan datang,” katanya.

Sumber gambar hiasan: Redapes.org

Suara Sarawak