
KUCHING: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disifatkan sebagai ujian kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) apabila turun bertanding bersendirian di peringkat nasional.
Pengerusi Publisiti dan Media GPS, Datuk Idris Buang berkata ia merupakan peluang untuk gabungan komponen Sarawak membuktikan peranannya dalam kerajaan Persekutuan yang akan dibentuk kelak.
Beliau berkata, adalah penting untuk GPS mempunyai suara yang kuat di Dewan Rakyat khususnya dalam memperjuangkan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Banyak kejayaan telah dicapai sebelum ini menerusi Ahli Parlimen GPS dalam memperjuangkan tuntutan yang akhirnya memberikan kejayaan dan perubahan kepada landskap perundangan nasional,” katanya.
Tambah beliau, dengan memberikan kemenangan kepada 31 kerusi Parlimen nanti, Sarawak bukan sahaja boleh menjadi King Maker tetapi memainkan peranan sebagai ‘Playmaker’ yang prolifik dalam pasukan persekutuan.
“Ini kerana apabila mereka (kerajaan) memerlukan kita (GPS) untuk menyokong bagi membentuk kerajaan yang kuat, maka kita akan membuat dasar dengan mengambil kira sentimen rakyat Sarawak yang akan diputuskan bersama.
“Justeru, para pengundi harus bijak dalam membuat pemilihan pada 19 November kelak untuk memastikan Sarawak mampu mempunyai suara atau perwakilan yang kukuh di Parlimen,” ujarnya.
GPS katanya mempunyai dasar yang jelas dalam memperjuangkan hak negeri itu termasuk melaksanakan rancangan pembangunan mampan dalam tempoh jangka panjang.
Oleh itu kata Idris, mentaliti pengundi perlu diubah terutama di kawasan yang pernah diwakili pembangkang untuk membawa perubahan kepada Sarawak.
“Beri peluang kepada Sarawak untuk menjadi lebih kuat dan kukuh bukan sahaja dari segi perpaduan tetapi pelan jangka panjang yang akan memberi kesan kepada sektor ekonomi, pertanian, minyak dan gas dan sebagainya.
“Sarawak di bawah pentadbiran GPS akan terus menjana pendapatan dan meningkatkan hasil negeri ke arah yang lebih baik,” katanya lagi.