Menulislah untuk mendidik

MUNGKIN ramai yang tahu bahawa saya merupakan penulis blog atau aktif dalam penulisan digital.

Dewasa ini penulisan digital begitu berkembang, seiring perkembangan teknologi digital.

Penggunaan telefon pintar secara meluas menyebabkan masyarakat lebih cenderung membaca menggunakan peranti tersebut.

Tambahan pula masyarakat dewasa ini lebih gemar membaca informasi pantas dan ringkas serta menjurus kepada isu-isu terpilih menyebabkan mereka lebih cenderung membaca blog, facebook dan medium media sosial yang lain.

Ini menyebabkan pembacaan bahan pukal dan bercetak semakin kurang mendapat sambutan.

Bagaimanapun pembacaan bahan pukal seperti buku, majalah, makalah, jurnal dan akhbar masih penting kerana ia merupakan sumber maklumat penting yang mudah disimpan dalam tempoh yang lama.

Malah terpelihara melalui arkib sebagai rujukan pada masa akan datang.

Memandangkan penulisan digital semakin berkembang, maka ramai yang berminat menulis di media sosial. Antara kelebihan apabila anda berjaya menjadi penulis digital di media sosial ialah anda akan menjadi seorang yang berpengaruh.

Ini berlaku apabila anda berjaya memiliki sejumlah pengikut melebihi 100,000 orang misalnya.

Ia akan membuka peluang menerima bayaran menerusi penulisan dan pengiklanan di blog dan media sosial.

Ini adalah peluang yang sering dicari oleh ramai netizen iaitu kemasyhuran sebagai pengaruh dan menambah pendapatan.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit tip untuk pembaca Suara Sarawak yang ingin memulakan penulisan digital.

Sebagai permulaan pembaca mestilah memperbetul niat sebelum menulis.

Niat yang ikhlas dalam menulis adalah kunci menghasilkan karya yang menarik untuk dibaca dan penyampaian objektif mudah diterima oleh pembaca.

Jadi, yang pertama sebelum menulis… pasanglah niat baik.

Niatkan supaya apa yang ditulis akan memberi manafaat kepada pembaca dan berniat kerana Allah SWT supaya hasil tulisan kita menjadi satu ibadah.

Kedua, fahami dan patuhi etika penulisan.

Setiap penulisan mempunyai etika yang perlu dipatuhi seperti tidak menampilkan penulisan berunsur lucah, kebencian dan perkauman.

Penulisan hendaklah berasaskan fakta yang benar, bukan bersandarkan pada sumber yang tidak sahih kerana dikhuatiri menimbulkan fitnah.

Ketiga, penggunaan gaya bahasa yang mudah difahami, penulisan yang santai memberikan keselesaan kepada pembaca.

Bahasa yang sarat dengan simbol dan penggunaan istilah jargon membuatkan pembaca berasa berat untuk menghadamkan isi tulisan.

Mungkin kaedah itu sesuai untuk penulisan wacana, buku pukal dan jurnal, tetapi tidak sesuai untuk penulisan digital.

 

Keempat, jangan terikat dengan penulisan esei konvensional iaitu mempunyai pengenalan, isi perenggan, kesimpulan dan penutup.

Sebaliknya pelbagaikan corak penulisan anda. Mungkin boleh dimulakan dengan bentuk kata tanya atau penutupnya dibiarkan tergantung supaya pembaca mencari dan berfikir sendiri akan jawapannya.

Ini memberikan gaya penulisan yang lebih beridentiti dengan gaya tersendiri.

Kelima, sebelum kita menulis perkataan pertama, sebaiknya kita sudah tahu perkataan terakhir yang bakal kita gunakan untuk sesuatu artikel.

Maksudnya untuk menghasilkan artikel yang baik, anda perlu tahu struktur tulisan dan isi tulisan yang ingin disampaikan.

Kita perlu faham dan tahu isu yang hendak kita tulis. Untuk itu penulis boleh membuat kajian kata kunci atau keyword research.

Anda boleh mencari kata-kata kunci yang popular di Internet menerusi halaman kata kunci yang terkenal di google seperti ZapMeta dan KW Finder.

Ini sangat penting kerana ia dapat memberi panduan supaya penulisan kita mudah dikesan dengan tagging dan tanda pagar (hashtag) yang sesuai supaya artikel kita boleh menjadi trending.

Keenam, pemilihan tajuk yang menarik sangat penting.

Seperti judul buku yang mempengaruhi pembeli, begitu juga dengan penulisan digital iaitu blog dan penulisan facebook.

Penggunaan tajuk yang catchy sangat berkesan untuk menarik pembaca mengklik  blog anda, tetapi biarlah tajuk tersebut jujur dan berkaitan dengan isi kandungan yang disampaikan.

Ada penulis yang tidak beretika menulis dengan tajuk umpan ketik atau click bait.

Tajuknya begitu sensasi, tetapi isinya lari. Ini sesuatu yang sangat mengecewakan dalam dunia penulisan digital.

Yang pasti, semua orang boleh menulis, tetapi tidak semua boleh menulis dengan baik.

Untuk menjadi penulis yang baik mestilah menimba ilmu dan sentiasa membaca karya-karya agung penulis hebat untuk mendapatkan aura penulisan dan akhirnya anda dapat menjadi penulis yang mempunyai gaya tersendiri.

Ingat! Menulislah untuk mendidik.

• Cikgu Emmet atau Ahmad Faizal Osman merupakan guru kanan di SK Pulau Seduku Lingga, Sri Aman

Sumber imej: Bernama

Suara Sarawak