BAU: Taktik licik sindiket penipuan yang menyamar sebagai wakil platform e-dagang dan pihak berkuasa kewangan berjaya memperdaya seorang jurujual wanita sehingga mengalami kerugian lebih RM3,000 dalam kejadian di Kampung Bidi, Jalan Krokong, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, mangsa berusia 22 tahun itu pada awalnya dihubungi individu tidak dikenali yang mendakwa dia melanggan insurans perlindungan bagi barangan yang dibeli melalui sebuah platform dalam talian berpangkalan di luar negara.
“Suspek kemudian memaklumkan kononnya mangsa perlu membayar komitmen bulanan, namun turut menawarkan pilihan pembatalan dengan bayaran tertentu yang dijanjikan akan dipulangkan semula.
“Walaupun menafikan pernah membuat langganan, mangsa akur untuk meneruskan proses pembatalan selepas diyakinkan suspek,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd Haide, lebih meyakinkan, bayaran awal yang dibuat dipulangkan dalam masa singkat, sekali gus menimbulkan kepercayaan bahawa urusan tersebut adalah sah.
Namun, helah sebenar bermula apabila mangsa menerima panggilan kedua daripada individu lain yang menyamar sebagai pegawai pihak berkuasa kewangan.
“Mangsa dimaklumkan proses pembatalan masih belum lengkap dan perlu melalui beberapa langkah tambahan.
“Tanpa mengesyaki sebarang unsur penipuan, mangsa diarahkan membuat beberapa transaksi melalui imbasan kod QR ke akaun berbeza.
“Dalam tempoh singkat, mangsa melakukan lima transaksi menggunakan aplikasi e-dompet dan perbankan dalam talian, dengan jumlah keseluruhan RM3,202.26,” katanya.
Menurut Mohd Haide, suspek sekali lagi memberi jaminan bahawa semua bayaran akan dipulangkan selepas proses selesai. Namun, sehingga laporan polis dibuat, mangsa tidak menerima sebarang bayaran balik, sekali gus menyedari dirinya diperdaya
Semakan lanjut kata beliau, mendapati nombor telefon dan akaun yang digunakan tidak mempunyai rekod, dipercayai digunakan khas untuk tujuan penipuan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Mangsa turut bertindak pantas dengan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi melaporkan kejadian dan mendapatkan bantuan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan tidak dikenali yang menawarkan urusan kewangan, terutama yang melibatkan bayaran segera atau penggunaan kod QR,” katanya.

