KUCHING: Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin telah mengadakan lawatan kerja ke loji metanol Sarawak Petchem Sdn Bhd yang hampir siap di Bintulu selain jeti pemunggahan.
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa lawatan tersebut bertujuan membincangkan dan memahami sebarang kekurangan atau bantuan yang diperlukan daripada kementeriannya, khususnya berkaitan dengan keperluan maritim wajib.
“Turut menjadi perbincangan, antara lain adalah bantuan navigasi (ATONS), survei hidrografik dan pembuatan peta marin, Kod Keselamatan Kapal dan Pelabuhan Antarabangsa (ISPC) serta Notis kepada Nelayan,” katanya.
Lee dan delegasi juga diberikan taklimat berhubung status keseluruhan projek, dengan perhatian khusus diberikan kepada jeti sepanjang tiga kilometer berkenaan.
“Jeti itu mempunyai dua pelabuhan yang mampu menampung kapal hingga dua puluh DWT (Dead Weight Tonnage) setiap satu.
Jeti itu kini hampir siap 98 peratus,” kenyataan itu menyebut.
Rombongan itu juga melawat tapak yang dicadangkan bagi mercu cahaya baharu Tanjung Likau, bertujuan untuk menggantikan kompleks mercu cahaya sedia ada di Tanjung Kidurong yang tidak lagi dianggap selamat.
“Mercu cahaya baharu di Tanjung Likau akan terletak kira-kira 23 meter di atas paras laut dengan ketinggian menara 22 meter.
“Setelah siap, mercu cahaya ini akan memberi manfaat kepada ketiga-tiga pelabuhan, iaitu Pelabuhan Bintulu, Jeti Pemuatan Sarawak Petchem Bintulu, dan Pelabuhan Samalaju,” ujarnya.




