SELAMA berdekad-dekad, perjalanan merentasi Sungai Batang Lupar bergantung kepada perkhidmatan feri. Masa menunggu yang panjang, cuaca yang tidak menentu dan kos logistik menjadi rutin harian penduduk serta peniaga di pesisir Sarawak.
Dengan siapnya Jambatan Batang Lupar 1 sepanjang 4.8 kilometer yang bernilai RM848 juta, rutin itu berubah.

Bukan sekadar merentangi sebuah sungai, malah sebuah wilayah yang selama ini dianggap berada di pinggir pembangunan mula dihubungkan dengan lebih dekat kepada pusat-pusat ekonomi Sarawak.
Bagi Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr Firdaus Abdullah, jambatan tersebut perlu dilihat jauh melangkaui fungsi fizikal sebagai laluan pengangkutan.
Sebaliknya, katanya, ia merupakan pemangkin transformasi ekonomi yang mampu mengubah landskap pembangunan pesisir negeri.
“Jambatan ini bukan hanya menghubungkan dua tebing sungai, tetapi menutup jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
“Ia memudahkan akses penduduk kepada hospital, sekolah dan perkhidmatan kerajaan, selain membuka ruang kepada pembangunan ekonomi yang lebih menyeluruh di Sebuyau, Triso, Gedong dan kawasan sekitarnya,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Suara Sarawak.
Menurut beliau, jambatan berkenaan melengkapkan jaringan Jalan Pesisir Sarawak yang selama ini bergantung kepada sistem feri, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan darat antara Kuching hingga ke bahagian tengah negeri.
Kesannya, sektor pertanian, pelancongan dan perusahaan kecil dijangka menerima limpahan manfaat paling awal.
Masa ialah wang
Dalam ekonomi moden, masa mempunyai nilai yang boleh diterjemahkan kepada keuntungan. Bagi pengusaha kecil, setiap minit yang dijimatkan bermaksud kos operasi yang lebih rendah.

Dr Firdaus berkata, pengurangan masa perjalanan akan mengurangkan penggunaan bahan api, mempercepatkan penghantaran barangan dan meningkatkan produktiviti.
“Apabila kos logistik menurun, margin keuntungan akan meningkat, seterusnya pendapatan isi rumah juga meningkat.
“Inilah kesan langsung daripada pembangunan infrastruktur yang tidak seharusnya dilihat sekadar sebuah monumen statik yang dibina untuk menghubungkan dua kawasan,” jelasnya.
Beliau berkata, pengusaha inap desa, restoran, perniagaan makanan, bengkel, kedai runcit serta pelbagai perkhidmatan tempatan bakal menikmati pertambahan pelanggan susulan peningkatan aliran trafik di kawasan berkenaan.
Lebih penting, hasil pertanian yang sebelum ini sukar dipasarkan kini dapat dihantar dengan lebih cepat sambil mengekalkan kualiti produk.
Menurut Dr Firdaus, sebelum ini ramai pengusaha hanya bergantung kepada pasaran tempatan yang kecil.
Namun, keadaan itu berubah apabila akses jalan raya menjadi lebih baik.
“Hasil pertanian, makanan tradisional, produk kraf dan hasil laut dari Sebuyau kini berpotensi dipasarkan ke Kuching, Sarikei, Sibu malah sehingga Bintulu dan Limbang dengan kos penghantaran yang jauh lebih rendah.
“Apabila akses menjadi mudah, pasaran menjadi lebih luas dan produk dapat dihantar dengan lebih cepat, lebih segar serta kos logistik juga berkurangan, sekali gus meningkatkan daya saing produk tempatan,” katanya.
Menurut beliau lagi, keadaan itu turut membuka ruang kepada pembangunan industri pemprosesan makanan, termasuk produk berasaskan hasil laut seperti ikan terubok serta hasil pertanian tempatan yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
PMKS bakal menjadi peneraju awal
Walaupun terdapat harapan agar kawasan pesisir menarik industri berteknologi tinggi seperti hidrogen atau semikonduktor, Dr Firdaus berpandangan proses itu memerlukan sedikit masa.
“Dalam tempoh lima tahun pertama, pemacu utama ekonomi dijangka datang daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Pelaburan berskala besar lazimnya memerlukan ekosistem lengkap merangkumi jalan raya, utiliti, bekalan air, elektrik serta dasar pembangunan yang jelas. Kita perlu realistik.”
Menurutnya, industri berskala besar lebih berpotensi melabur sebaik sahaja ekosistem pembangunan di kawasan itu lengkap dan matang.
Tambah beliau, kedudukan kawasan itu yang berhampiran Hab Halal Tanjung Manis juga membuka peluang besar kepada aktiviti pemprosesan, pengedaran dan eksport produk halal pada masa depan.
Nilai tanah meningkat
Pembangunan infrastruktur hampir pasti membawa peningkatan nilai tanah. Bagaimanapun, Dr Firdaus mengingatkan bahawa peningkatan tersebut perlu berlaku secara mampan dan bukannya didorong spekulasi.
Menurutnya, kenaikan harga tanah memberi manfaat kepada pemilik kerana nilai aset mereka bertambah. Bagaimanapun, jika berlaku pembelian secara agresif oleh pelabur luar, penduduk tempatan mungkin kehilangan hak milik tanah akibat tekanan ekonomi.
“Kita tidak mahu penduduk menjual tanah hanya kerana tergoda dengan tawaran harga tinggi.
“Kerajaan perlu mempunyai mekanisme bagi mengawal spekulasi supaya manfaat pembangunan benar-benar dinikmati masyarakat setempat,” katanya.
Beliau turut mencadangkan tanah milik penduduk digunakan sebagai cagaran untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan atau pendidikan, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi mereka tanpa perlu melepaskan hak milik.
Pekan yang kembali hidup
Perubahan paling ketara sebenarnya sudah mula dirasai. Hasil tinjauan Suara Sarawak di Pasar Sebuyau mendapati peniaga yang sebelum ini memperoleh keuntungan sekitar RM70 sehari kini mampu mencatat jualan hampir tiga kali ganda.
Fenomena itu, menurut Dr Firdaus, merupakan tindak balas semula jadi pasaran apabila permintaan meningkat.
“Apabila lebih ramai orang datang, pasaran menjadi lebih besar dan inilah impak langsung pembangunan infrastruktur.
“Matematiknya mudah kerana apabila pelancong datang, pengguna bertambah dan ekonomi tempatan mula bergerak,” katanya.
Beliau menjangkakan lebih banyak perniagaan akan muncul dalam lingkungan 30 hingga 50 kilometer dari jambatan berkenaan, termasuk restoran, hotel, bengkel, kedai gunting rambut, pusat perkhidmatan dan pelbagai aktiviti komersial lain.
Mengurangkan penghijrahan belia
Antara impak paling penting pembinaan jambatan ini, kata beliau, ialah peluang mengekalkan golongan muda di kampung halaman.
“Apabila peluang pekerjaan diwujudkan berhampiran tempat tinggal, kadar penghijrahan belia ke bandar boleh dikurangkan.
“Apabila ekonomi tempatan berkembang, peluang pekerjaan akan bertambah dan kita mahu belia melihat masa depan mereka di kawasan sendiri.
“Itulah matlamat pembangunan inklusif yang digariskan melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.
Beliau berkata, pembangunan yang seimbang antara bandar dan luar bandar amat penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Sarawak dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat.
Hakikatnya, jambatan tidak pernah membina ekonomi secara bersendirian. Sebaliknya, ia hanya membuka peluang.
Apa yang menentukan kejayaan ialah bagaimana kerajaan, komuniti dan sektor swasta memanfaatkan peluang yang diwujudkan.
Bagi Batang Lupar, jambatan itu mungkin bermula sebagai projek infrastruktur bernilai RM848 juta untuk menghubungkan satu kawasan dengan kawasan yang lain.
Namun, sekiranya segala potensi yang dirancang berjaya direalisasikan, nilainya kepada rakyat jauh lebih besar daripada angka tersebut.
Ia boleh menjadi pemangkin kepada lahirnya sebuah koridor ekonomi baharu di pesisir Sarawak yang bukan sahaja mempercepatkan perjalanan, malah mempercepatkan impian ribuan penduduk luar bandar untuk menikmati kemakmuran yang selama ini berada di seberang sungai.




