ARTIKEL

Mesej WhatsApp guna gambar suami, wanita rugi RM97,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Seorang wanita kerugian RM97,000 selepas mempercayai mesej WhatsApp yang menggunakan gambar profil suaminya sebelum melakukan dua transaksi pemindahan wang ke akaun bank berbeza.

Penipuan itu terbongkar selepas mangsa mendapatkan penjelasan daripada suaminya, yang menafikan pernah meminta sebarang pemindahan wang.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian berlaku semalam apabila mangsa menerima mesej WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang menggunakan gambar profil suaminya.

Menurutnya, mangsa menyangka mesej itu dihantar oleh suaminya sebelum diminta membuat pembayaran.

“Susulan itu, mangsa melakukan dua transaksi pemindahan wang secara dalam talian menggunakan akaun syarikat, masing-masing berjumlah RM48,000 dan RM49,000 ke dua akaun bank berbeza,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa mula menyedari dirinya diperdaya selepas bertanyakan kepada suaminya mengenai transaksi berkenaan.

Semakan lanjut mendapati nombor telefon yang digunakan bukan milik suaminya, manakala perbualan WhatsApp berkenaan turut didapati telah hilang.

“Susulan kejadian, mangsa menghubungi pihak bank untuk memohon tindakan terhadap akaun yang terlibat sebelum membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri,” katanya.

Mohd Farhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai mesej yang menggunakan gambar profil ahli keluarga atau kenalan, terutama apabila melibatkan permintaan pemindahan wang.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengesahkan identiti pengirim sebelum melakukan transaksi, mengelakkan pembayaran ke akaun pihak ketiga tanpa pengesahan dan menyimpan semua dokumen serta bukti transaksi bagi membantu siasatan sekiranya berlaku penipuan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU