ISTANBUL: Belgium dan Mesir berkongsi mata selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan G pada Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Seattle, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Mesir mendahului pada minit ke-19 menerusi Emam Ashour yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti ke penjuru bawah gawang. Gol itu merupakan jaringan pertama Ashour untuk Mesir dalam penampilan ke-30 beliau bersama skuad kebangsaan.
Mesir menamatkan babak pertama dengan kelebihan 1-0 selepas memberi tekanan kepada Belgium dan menghalang lawan daripada melakukan sebarang percubaan tepat ke sasaran.
Belgium memulakan babak kedua dengan lebih agresif apabila terus mengasak bagi mencari gol penyamaan. Mesir kemudian kembali menguasai permainan dan berusaha menggandakan jaringan, namun gagal memanfaatkan peluang.
Kemasukan penyerang Belgium Romelu Lukaku dari bangku simpanan akhirnya membantu Belgium menyamakan kedudukan.
Tidak lama selepas dimasukkan pada minit ke-66, Lukaku memaksa Mohamed Hany menjaringkan gol sendiri untuk jaringan penyamaan, sekali gus menghidupkan semula harapan Belgium selepas Mesir dilihat semakin hampir untuk meraih kemenangan.
Selepas semakan dibuat, gol itu disahkan sebagai jaringan Mohamed Hany. – BERNAMA-ANADOLU



