ARTIKEL

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bagi Bulan Oktober 2025 hari ini.

Mesyuarat Jemaah Menteri akan bincang pengaruh media sosial di sekolah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Langkah tegas bagi menangani isu disiplin dan keselamatan di sekolah, termasuk pengaruh media sosial dalam kalangan pelajar, akan dibincang oleh Jemaah Menteri dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beberapa insiden yang berlaku di institusi pendidikan kebelakangan ini memerlukan intervensi segera.

“Kita akan adakan perjumpaan mengenai isu ini. Apabila kita lihat secara menyeluruh, hampir kesemuanya berbalik kepada telefon pintar, media sosial, dan aplikasi.

“Jadi, mungkin hari ini atau esok saya akan mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri bagi membincangkan isu ini. Harus ambil tindakan tegas… tentunya ada pelbagai reaksi daripada orang ramai, tetapi harus ada tindakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan.

Perdana Menteri turut mengulas mengenai insiden tragis yang menyaksikan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Selangor.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa ditemukan dengan beberapa kesan tikaman di badan di luar bilik darjah.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, memaklumkan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian, manakala Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata dua senjata tajam yang dipercayai digunakan telah dirampas.

Sementara itu, beberapa insiden serius membabitkan pelajar sekolah turut dilaporkan, termasuk kes rogol membabitkan empat pelajar lelaki Tingkatan Lima dan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di Melaka, yang membawa kepada tindakan buang sekolah serta-merta.

Turut mendapat perhatian ialah peningkatan kes buli di sekolah, apabila data Kementerian Pendidikan menunjukkan sebanyak 7,681 kes direkodkan tahun lepas berbanding 6,528 pada 2023.-BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai