SAN FRANCISCO: Berpuluh-puluh negeri AS pada Selasa menuduh pemilik Facebook dan Instagram, Meta mengaut keuntungan daripada kanak-kanak, merosakkan kesihatan mental mereka dan mengelirukan orang ramai akan keselamatan platformnya.
“Dalam usaha untuk memaksimumkan keuntungan kewangannya, Meta berulang kali mengelirukan orang ramai akan bahaya besar Platform Media Sosialnya,” menurut hujah tuntutan mahkamah bersama yang difailkan di mahkamah persekutuan di California.
Secara keseluruhan, lebih daripada 40 negeri menyaman Meta, walaupun ada yang memilih untuk memfailkan di mahkamah tempatan daripada menyertai kes persekutuan.
Meta telah mengeksploitasi pengguna muda dengan mencipta maodel perniagaan yang direka untuk memaksimumkan masa yang mereka habiskan di platform walaupun membahayakan kesihatan mereka, kata pemfailan undang-undang itu.
“Kanak-kanak dan remaja mengalami tahap rekod kesihatan mental yang lemah dan syarikat media sosial seperti Meta harus dipersalahkan,” kata Peguam Negara New York, Letitia James dalam satu kenyataan mengumumkan saman itu.
“Meta telah mendapat keuntungan daripada kesakitan kanak-kanak dengan sengaja mereka bentuk platformnya dengan ciri manipulatif yang membuat kanak-kanak ketagih dengan platform mereka sambil merendahkan harga diri mereka.”



