WASHINGTON: Meta pada Jumaat mengumumkan bahawa ia akan mengintegrasikan kandungan dari organisasi berita utama ke dalam pembantu kecerdasan buatan (AI) syarikat itu, membolehkan pengguna Facebook, Instagram dan WhatsApp mendapatkan maklumat terkini secara langsung.
Menurut kenyataan Meta, Meta AI akan menyampaikan berita terkini, hiburan dan gaya hidup apabila pengguna membuat pertanyaan berkaitan berita.
Kandungan ini diperoleh melalui kerjasama dengan pelbagai media antarabangsa termasuk CNN, Fox News, Le Monde, People dan USA Today.
Ciri baharu ini membolehkan pengguna mengakses sumber kandungan yang lebih pelbagai dan pautan ke laman sesawang rakan kongsi untuk maklumat lebih mendalam, menurut Meta.
Syarikat itu berkata langkah ini bertujuan menjadikan pembantu AI lebih responsif, tepat dan seimbang dengan mengambil kira pelbagai pandangan, sambil mengakui bahawa peristiwa masa nyata boleh menjadi cabaran bagi sistem AI semasa untuk mengikutinya.
Kerjasama awal merangkumi penerbitan arus perdana dan penerbitan yang condong konservatif seperti The Daily Caller dan The Washington Examiner.
Meta juga merancang menambah lebih banyak kerjasama dan membangunkan ciri baharu selaras dengan persaingan teknologi global dalam meningkatkan kemampuan pembantu AI.
Meta AI kini boleh diakses di semua platform syarikat, yang digunakan oleh berbilion pengguna di seluruh dunia. Pengumuman ini hadir ketika syarikat AI lain, termasuk ChatGPT milik OpenAI dan Gemini Google, turut menggabungkan kandungan web dan berita secara langsung.
Beberapa syarikat menandatangani kerjasama dengan media besar, termasuk The New York Times dengan Amazon dan Google dengan The Associated Press. Walaupun terdapat kerjasama antara syarikat AI dengan organisasi berita, beberapa media masih mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat AI.
Contohnya, The New York Times menuntut OpenAI kerana didakwa menggunakan artikel mereka tanpa izin atau bayaran.
Baru-baru ini, The New York Times dan Chicago Tribune turut menyertai The Wall Street Journal dan New York Post dalam tuntutan mahkamah terhadap syarikat AI, Perplexity.
Hubungan Meta dengan media sebelum ini dilihat agak tegang. Pada 2024, syarikat yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg itu menutup tab Berita Facebook di beberapa pasaran termasuk AS, Britain dan Perancis, serta menamatkan perjanjian bernilai jutaan dolar dengan organisasi berita utama.
Pengumuman AI ini dibuat sehari selepas harga saham Meta melonjak, susulan laporan bahawa syarikat itu mengurangkan pelaburan realiti maya dan menumpukan perhatian kepada teknologi AI. – AFP



