KUCHING: Persatuan Kesihatan Mental Sarawak (MHAS) Cawangan Kuching menyasarkan penyertaan 2,000 orang dalam Larian Amal Kesihatan Mental Kuching 2.0 pada 1 November ini bagi memperkukuh kesedaran serta sokongan isu kesihatan mental.
Pengerusinya, Dr. Ng Boon Seng berkata, acara yang akan berlangsung di ruang legar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada 6 pagi itu membawa tema ‘Moving Beyond Stigma’ dan bertujuan menghimpunkan masyarakat dalam satu gerakan yang membawa harapan, sokongan serta perubahan.
“Larian ini merupakan seruan kepada semua untuk melangkaui kebisuan, penghakiman dan stigma, menuju kepada kefahaman, kebaikan serta harapan.
“Orang ramai dijemput untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan yang bermakna ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, hasil kutipan daripada acara itu akan disalurkan bagi pembangunan Pusat MHAS yang menyediakan perkhidmatan pemulihan dan sokongan kehidupan berdikari kepada individu yang mengalami penyakit mental serta tidak mempunyai tempat perlindungan dan sistem sokongan yang mencukupi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pendaftaran bagi Larian Amal Kesihatan Mental Kuching 2.0 kini dibuka kepada orang ramai dengan kategori larian sejauh 3 kilometer (km) dan 5km.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM50 bagi pendaftaran awal sehingga 1 September 2026, manakala yuran biasa ialah RM60 dengan tarikh tutup pendaftaran pada 30 September 2026.
Pendaftaran kini dibuka menerusi pautan https://cps4.me/kuching-mental-health-charity-run26
Untuk maklumat lanjut, peluang penajaan atau pertanyaan media, orang ramai boleh menghubungi MHAS melalui e-mel info@mhasarawak.com atau sponsorship.mhasarawak25@gmail.com bagi urusan larian amal, selain menghubungi Sylvester di talian 016-8082015.
Maklumat lanjut turut boleh diperoleh menerusi Facebook Mental Health Association of Sarawak, Instagram Mhasarawak atau laman web https://mhasarawak.com/.



