ARTIKEL

Wee Hong Seng bersama Jimsley Lim (tiga kanan) dan pasukan Isekai Zero selepas sidang media berhubung animasi pendek Michiru di MBKS, Kuching, hari ini.

Michiru hidupkan Kuching dalam dunia anime menerusi teknologi AI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Siapa sangka jalan lama, pasar, tebingan sungai dan perpustakaan awam yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian warga Kuching kini bakal ‘hidup’ dalam dunia anime untuk ditonton penonton dari seluruh dunia?

Itulah kelainan yang diketengahkan menerusi Michiru, animasi pendek berdurasi 30 minit yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan lokasi dan suasana sebenar sekitar bandar raya ini dijadikan inspirasi dalam penghasilannya.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, penghasilan Michiru membuktikan teknologi AI bukan sekadar alat baharu, malah boleh dimanfaatkan untuk mengetengahkan bakat tempatan, selain memperkenalkan Kuching kepada khalayak antarabangsa.

Poster rasmi animasi pendek Michiru yang menampilkan lokasi dan suasana sekitar Kuching menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI), sebelum tayangan perdana dunia di GSC The Spring, Sabtu ini.

“Michiru merupakan animasi pendek berdurasi 30 minit yang dihasilkan menggunakan teknologi AI, dengan lokasi dan suasana sebenar di sekitar Kuching dijadikan rujukan dalam penghasilannya,” katanya pada sidang media berhubung pengumuman tayangan percuma animasi berkenaan di sini, hari ini.

Menurutnya, antara lokasi yang ditampilkan dalam animasi berkenaan termasuk jalan lama, pasar, tebingan sungai dan perpustakaan awam yang menjadi sebahagian daripada identiti bandar raya ini.

Animasi berkenaan, katanya lagi, akan menjalani tayangan perdana dunia di Golden Screen Cinema (GSC), Pusat Beli-belah The Spring, Sabtu ini, sebelum ditayangkan secara global menerusi YouTube pada 16 September.

“Program berkenaan dianjurkan bersama MBKS dan Festival Torabera ACG sebagai sebahagian daripada Torabera 4.0 yang berlangsung di The Spring dari 11 hingga 13 September,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komuniti Isekai Zero, Jimsley Lim berkata, penghasilan Michiru turut melibatkan pengumpulan bahan visual dari lokasi sebenar sekitar Kuching sebagai rujukan sebelum diterjemahkan ke dalam bentuk animasi menggunakan teknologi AI.

Katanya, pasukan produksi mengambil gambar di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini bagi memastikan elemen dan identiti Kuching dapat diterapkan dalam karya berkenaan.
Jelasnya, keseluruhan proses produksi Michiru, bermula daripada perancangan dan penulisan skrip sehingga penghasilan animasi, mengambil masa kira-kira enam bulan.

“Idea menghasilkan animasi berkenaan turut didorong hasrat syarikat untuk memperkenalkan Kuching kepada pengguna mereka di seluruh dunia, dengan Isekai Zero mempunyai kira-kira 70,000 pengguna aktif harian, terutama di Eropah dan Amerika Syarikat.

“Kami mahu seluruh dunia melihat Kuching dan itu antara sebab kami menghasilkan anime ini,” ujarnya.

Sebanyak 550 tiket disediakan untuk dua sesi tayangan Michiru, masing-masing pada jam 2 dan 3 petang, Sabtu ini dengan tiket percuma boleh diperoleh menerusi pautan yang disediakan.

Kapsyen:

P1: Wee Hong Seng bersama Jimsley Lim (tiga kanan) dan pasukan Isekai Zero selepas sidang media berhubung animasi pendek Michiru di MBKS, Kuching, hari ini.

P2: Poster rasmi animasi pendek Michiru yang menampilkan lokasi dan suasana sekitar Kuching menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI), sebelum tayangan perdana dunia di GSC The Spring, Sabtu ini.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU