Migrasi bantu pembangunan ekonomi

KUCHING: Peluang pekerjaan menjadi tarikan masyarakat Iban berhijrah ke Kuching, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, ekonomi di bandar membolehkan kaum Iban mencari nafkah.

“Tahap pendidikan yang semakin baik membuatkan masyarakat kita ingin mencari peluang yang setimpal dengan kelulusan mereka.

“Kini ramai masyarakat kita menjadi arkitek, jurutera dan sebagainya. Perkara tersebut membuktikan migrasi dapat membantu dalam pembangunan ekonomi kita di sini,” katanya, dalam Majlis Gawai Ngiling Bidai 2019 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Abang Johari berkata, majlis itu julung kali diadakan di kawasan bandar dan merupakan bukti kemajuan di negeri ini.

Menurutnya, kira-kira 80,000 orang Iban berada di Kuching dan ia merupakan bukti banyak dalam kalangan mereka berhijrah ke kawasan bandar.

“Masyarakat Iban yang berpindah ke bandar membantu membina ekonomi di kawasan bandar dan mereka juga akan

mengisi kekosongan pekerjaan. “Perubahan dan kemajuan dalam dunia ekonomi membawa kepada ekonomi digital. Komuniti Dayak akan dilatih dalam era baru ini dan akan menjadi sebahagian daripada transformasi ekonomi,” jelasnya.

Kata Abang Johari, masyarakat semakin menerima perubahan dan transformasi dalam dunia ekonomi.

“Dalam tempoh sepuluh tahun akan datang saya yakin jumlah populasi kaum Iban di Kuching akan meningkat,” ujarnya.

Turut diadakan dalam majlis itu penyampaian Inisiatif Pelajar Cemerlang 2018

untuk UPSR, PT3, SPM dan diploma. Majlis Gawai Ngiling Bidai 2019 dianjurkan Jawatankuasa Bertindak Ketua Masyarakat Tuai Rumah dan persatuan Ketua Masyarakat dan Tuai Rumah Kaum Iban Daerah Kuching (Pemaik).

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, mantan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu Numpang, Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Jaul Samion dan Temenggong Datuk Bernard Agan Assan.