Miki Ghazali hadiah kemenangan buat ibu TIADA hadiah yang lebih bermakna buat seorang ibu selain melihat kejayaan anak di hadapan mata sendiri.
Itulah misi besar yang dibawa oleh petarung muda, Miki Ghazali, 17 tahun, apabila kemenangan besarnya baru-baru ini didedikasikan khas sempena ulang tahun kelahiran bonda tercinta.
Miki bukan sahaja menang bergaya, malah sekali lagi menjadi bualan hangat dalam kalangan orang ramai selepas berjaya menewaskan lawannya, Aekmongkol, dalam satu aksi yang cukup dramatik di Thailand, baru-baru ini.
Lebih mengagumkan, kemenangan tersebut diraih secara kalah mati seawal pusingan kedua.
Kejayaan manis dalam siri Rajadamnern World Series (RWS) April Inferno itu sekali gus menyaksikan Miki terus mengekalkan rekod bersih 2-0 sepanjang penglibatannya dalam saingan RWS.
“Miki Ghazali kini memegang rekod 2-0 di RWS dengan kemenangan kalah mati ke atas Aekmongkol,” kongsi akaun Instagram Fight Record yang turut berbangga dengan pencapaian anak muda wakil Malaysia itu.
Pihak penganjur menerusi akaun RWS pula menyifatkan pertembungan di Stadium Rajadamnern itu sebagai satu “pengakhiran yang indah”.
Memang tidak dapat dinafikan, aura Miki setiap kali melangkah ke gelanggang pasti membuatkan ramai peminat tidak senang duduk.
Melihat foto-foto yang tular di media sosial, jelas terpancar kesungguhan Miki yang mempunyai pesona tersendiri dalam memastikan setiap peluang tidak disia-siakan.
Walaupun perlawanan tamat dalam sekelip mata, impak dan serangan berbisa Miki tetap menjadi topik perbualan ramai sehingga hari ini.
Dengan rekod yang semakin baik, anak muda ini membuktikan semangat juang dan kasih sayang terhadap keluarga ialah kunci utama kejayaannya di persada antarabangsa.



