KUCHING: Seorang lelaki tempatan dihadap ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memiliki 80 keping kad bank ATM milik orang lain tanpa kebenaran.
Tertuduh berusia 28 tahun itu mengaku tidak bersalah atas 80 pertuduhan yang dibacakan di hadapan empat hakim berasingan.

Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Bukit Bayor, Tabuan Jaya, sekitar 6 petang, 11 Disember lalu.
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan tunai RM12,000 beserta dua penjamin tempatan bagi 18 pertuduhan, manakala, 62 pertuduhan melibatkan jaminan tanpa deposit.
Hakim Iris Awen Jon, Hakim Noorhisham Mohd Jaafar, Hakim Musli Ab Hamid memerintahkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 22 Januari 2026.
Manakala, Hakim Jason Juga menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 26 Januari 2026.
Pendakwaan kes bagi kesemua pertuduhan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff, DPP Ruvinasini Pandian, DPP Adriana Maisarah Mohd Farid dan DPP Asmawi Nur Haqim Mokhtar.
Manakala, tertuduh diwakili Peguam Tiong Ing Neng, Patrick Voon, Alex Kong.
Difahamkan, bertindak atas maklumat, pihak polis melakukan satu serbuan di sebuah rumah di Tabuan Jaya, kerana dipercayai terdapat kegiatan jenayah komersil.
Semasa serbuan, seorang lelaki ditahan bersama-sama 84 keping kad ATM pelbagai bank yang berada dalam milikannya.
Semakan lanjut, 80 keping kad tersebut merupakan milik orang lain, manakala empat keping kad lagi adalah miliknya.
Difahamkan juga, tertuduh berperanan sebagai agen mencari dan membeli serta menjual kad ATM di sekitar bandar raya Kuching.

