KUCHING: Pemilikan rumah perlu dilihat sebagai satu keperluan asas serta strategi penting dalam memastikan kestabilan kehidupan keluarga Melayu, khususnya dalam berdepan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Pengerusi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Datuk Dr. Wan Ali Tuanku Madhi berkata, isu pemilikan rumah bukan sahaja melibatkan aspek kediaman, malah berkait rapat dengan pembangunan ekonomi serta kesejahteraan sesebuah keluarga.
Menurutnya, realiti semasa menunjukkan peningkatan harga rumah menjadi antara cabaran utama, khususnya kepada keluarga muda untuk memiliki kediaman sendiri.
“Memiliki rumah sebenarnya merupakan antara strategi paling utama dan penting dalam memantapkan kedudukan orang Melayu.
“Rumah merupakan tapak kehidupan kita. Apabila ada tapak yang kukuh, barulah kita dapat membawa keluarga ke arah yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Bicara bertajuk “Satu Keluarga Satu Rumah” sempena Konvensyen Graduan Melayu Sarawak di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce (TAZA), Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, antara kekangan utama yang dihadapi pembeli rumah pertama ialah kemampuan kewangan, terutama dalam menyediakan wang pendahuluan serta mendapatkan akses pembiayaan daripada institusi kewangan.
Katanya, isu nilai tanah turut menjadi cabaran apabila sebahagian tanah milik masyarakat Melayu dikategorikan sebagai Native Area Land, yang mempunyai nilai pasaran lebih rendah berbanding kawasan lain.
“Walaupun kita mempunyai tanah, tetapi apabila nilai pasaran tanah tersebut rendah, ia menjadi cabaran untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank bagi membina rumah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Wan Ali memuji usaha kerajaan Sarawak dalam membantu rakyat memiliki rumah melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan deposit rumah pertama dan penyediaan skim perumahan mampu milik.
Beliau berkata, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memperluas peluang pemilikan rumah, termasuk mempertimbangkan peningkatan bantuan deposit serta mewujudkan lebih banyak kawasan kediaman strategik untuk masyarakat Melayu di kawasan bandar.
Selain itu, beliau turut mencadangkan pelaksanaan model sewa untuk beli (rent to own) sebagai salah satu pendekatan alternatif bagi membantu golongan yang masih belum berkemampuan memiliki rumah.
“Sekiranya ada model sebegini, mereka yang menyewa dalam tempoh tertentu mempunyai peluang untuk memiliki kediaman tersebut selepas memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, sasaran setiap keluarga memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah menjelang 2030 merupakan matlamat yang perlu disokong bersama demi membina masyarakat yang lebih stabil.
Justeru, beliau menegaskan usaha memiliki rumah memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, institusi kewangan dan masyarakat sendiri melalui perancangan kewangan yang lebih awal.



