ARTIKEL

TAHAN… Seorang buruh asing ditahan polis kerana dipercayai memiliki syabu, semalam.

Miliki Syabu, Buruh Asing Ditahan Polis di Mukah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Seorang buruh asing ditahan selepas polis menemukan 0.62 gram dadah disyaki syabu di dalam simpanannya di kawasan pinggir hutan Lorong Anggun, Jalan Mukah-Balingian, di sini, semalam.

Suspek, 25, ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah dalam serbuan kira-kira 11.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan satu paket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan serta siasatan lanjut.

“Ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah secara salah.

Kertas siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selepas suspek didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Suspek kemudian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Mukah kira-kira 8.30 pagi tadi atas pertuduhan memiliki dadah dan memasukkan dadah ke dalam badan secara salah.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Majistret Oon Kork Chern.

“Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Nazri Harissman Daee memohon supaya tarikh baharu ditetapkan bagi sebutan lanjut sementara menunggu keputusan laporan kimia barang kes siap.

“Majistret Oon Kork Chern membenarkan permohonan itu dan menetapkan 7 Disember 2026 sebagai tarikh sebutan lanjut,” jelasnya.

Tambah Rizal, tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan tertuduh akan ditahan di Penjara Sibu sementara menunggu tarikh pendakwaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penagihan dadah boleh menghubungi talian hotline IPD Mukah di 084-871222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU