KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki 0.04 gram dadah jenis syabu, dua tahun lalu.
Tertuduh Liew Yu Teck, 32, dari Tapah, Padawan, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.04 gram dalam sebuah rumah di Tapah, Padawan, Kira-kira jam 11 pagi, 24 April 2021.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan telah melakukan satu serbuan di sebuah rumah di Tapah, kira-kira jam 11 pagi, 26 April 2021.
Hasil serbuan, berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang menyerahkan sendiri satu bekas hijau berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.
Barang kes kemudian dibawa ke Jabatan Kimia Malaysia dan mengesahkan bahawa bahan tersebut merupakan dadah jenis Methamphetamine seberat 0.04 gram.
Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar mahkamah menggenakan hukuman setimpal kepada tertuduh.