KUCHING: Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Milton Foo Tiang Wee, menegaskan beliau akan terus memberikan khidmat bakti kepada masyarakat tanpa mengira kepentingan politik.
“Secara peribadi, saya kini hanya memberi tumpuan melaksanakan tugas sebagai Ketua Biro Pengaduan Awam.
“Masyarakat datang kepada saya untuk meminta pertolongan dan tugas saya adalah memberikan khidmat terbaik bagi menyelesaikan masalah mereka. Saya berpendapat tugas utama saya ketika ini adalah berhubung perkara tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai khabar angin bahawa beliau akan bertanding di kawasan Pending menjelang pilihan raya akan datang.
Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa keputusan sama ada beliau akan bertanding pada pilihan raya akan datang, sama ada di peringkat Parlimen atau negeri, tertakluk sepenuhnya kepada keputusan parti.
“Berkaitan perkara itu, saya tidak mahu mengulas lanjut sama ada saya berkeinginan atau tidak.
“Ini bukan tugas saya untuk membuat sebarang pengumuman dan saya menghormati sepenuhnya keputusan parti mengenai perkara tersebut,” katanya.



