ANISHA membetulkan baju sejuk yang tersarung di tubuh tinggi lampainya.
Dingin penyaman udara masih belum mampu mengusik fokusnya daripada terus meneroka karya Leonard David yang bertajuk Mars: Our Future on the Red Planet.
Jika sebelum ini dia cenderung membaca novel, cerpen dan esei, kini buat pertama kalinya dia berani mengubah selera.
Mencabar diri demi sebuah kelainan.
Nyata dia tidak silap memilih.
Karya wartawan sains dari Amerika Syarikat ini mengujakan pembaca pemula seperti Manisha.
Buku yang ditulis ini membicarakan penghijrahan manusia ke planet merah yang diramalkan berlaku pada dekad akan datang.
Misi ini akan mengambil proses yang panjang termasuk dengan memastikan keperluan bekalan oksigen dan karbon dioksida di sana mencukupi.
Biarpun belum ada seorang pun manusia yang pernah sampai ke Marikh, para penyelidik tetap yakin bahawa manusia mampu hidup di sana hasil daripada pelbagai kajian yang dilakukan.
Tambahan pula, sumber makanan juga akan ditanam di rumah hijau nanti.
Foto-foto berwarna yang dipaparkan di buku ini membawanya turut serta menembusi sempadan galaksi.
Dia membayangkan bumi yang semakin mengecil, sementara merahnya Marikh kian jelas di mata.
Manisha terus leka dalam pembacaannya.
Suasana sepi di Perpustakaan Hamzah Sendut tiba-tiba terganggu dengan bunyi seretan kerusi, diikuti jeritan halus suara Manisha yang terjelepok di atas lantai gara-gara sergahan Alisha.
Beberapa pasang mata menjeling tanda kurang senang dengan bunyi yang menggugat fokus mereka.
“Itulah, berangan lagi macam Mat Jenin,” usik Alisha.
“Mujur tak patah pinggang aku.”
Manisha bingkas bangun.
Wajahnya sedikit kemerahan dek malu.
Perlahan-lahan pinggangnya diurut.
Terasa sedikit nyeri akibat pinggulnya terhentak ke lantai tadi.
“Kata orang tua-tua … ” Alisha jeda seketika, mungkin mencari perkataan yang sesuai untuk dilontarkan.
“Orang tua-tua tak kata apa-apa pun, orang tua ni yang suka berkata bukan-bukan.”
Telunjuknya diarahkan ke wajah temannya.
“Aduh, pedihnya!”
Manisha menggosok perlahan lengannya yang diketip halus oleh Alisha.
“Menarik sangatkah buku yang kau baca sampai hilang dalam dunia sendiri?”
Manisha sekadar mengangguk.
Mana mungkin diceritakan imaginasinya.
Tanpa tahu jalan cerita pun dia sudah diusik sebegitu, apatah lagi jika dikongsikannya.
Perlahan-lahan buku itu ditutupnya.
Pengembaraan yang baru bermula di fikirannya akan dibawa merentasi ruang astronomi yang ingin dijelajahinya.
Berhijrah ke Marikh.
Menarik, bukan?
Mungkinkah misi NASA dan SpaceX akan menjadi mimpi Manisha?



