Minggu motosikal antarabangsa Kuching berlangsung Julai tahun depan

KUCHING: Minggu Motosikal Antarabangsa Kuching (KIBW) akan kembali semula tahun depan, dengan penganjuran lebih besar dan lebih banyak program yang dirancang di seluruh Sarawak.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata acara itu yang dicadang diadakan seiring dengan Festival Muzik Hutan Hujan Dunia, dijangka menarik lebih ramai pengunjung untuk memeriahkan kedua-dua acara itu dan meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Acara seminggu itu dicadang diadakan mulai 4 Julai tahun depan, dekat dengan tarikh Festival Muzik Hutan Hujan Dunia, yang juga ditetapkan sebelum ini, untuk diadakan dalam bulan yang sama.

“Mereka (penganjur) telah melihat secara mendalam supaya tarikh penganjuran ini lebih kurang dekat dengan Festival Muzik Hutan Hujan Dunia supaya dapat membantu satu sama lain dan mereka akan buat jerayawara ke negara jiran untuk jemput ‘bikers’ dari negara lain.

“Kalau ini dapat digabungkan bersama, bukan gabungan penganjuran, ia identiti berlainan, tapi bila ada dua program seperti ini, mereka akan saling menyokong, sebab mereka yang minat ‘big bike’ ini mereka juga minat dengan muzik, jadi ia dapat membantu menambahkan jumlah kehadiran,” katanya dalam sidang media, semalam.

Abdul Karim berkata acara itu, yang terbesar diadakan berdasarkan cadangan aturcara dan kenamaan yang diundang, akan dikelolakan oleh penganjur baharu, Persatuan Motosikal Sarawak (SAMA), yang baru dilancarkan pada Ogos lepas, sebagai persatuan induk bagi kelab motosikal tempatan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sedia untuk mempertimbangkan mana-mana program, termasuk KIBW, untuk dimasukkan ke dalam Kalendar Pelancongan Negeri.

“Kami mungkin mengumumkannya semasa KIBW itu sendiri, bagaimanapun kami perlu melihat bagaimana ia dianjurkan. Untuk sesuatu acara itu diterima dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri, ia mesti memenuhi standard tertentu sebab kalendar itu akan dipromosikan di luar negara,” katanya. – Bernama