MIRI: Sambutan ulang tahun ke-21 Bandaraya Miri terus disemarakkan menerusi penganjuran Miri Mayfest Carnival 2026, di sini, baru-baru ini.
Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, sambutan itu bukan sahaja menjadi medan penyatuan masyarakat pelbagai kaum, malah dijangka merancakkan sektor ekonomi dan pelancongan tempatan.
“Sepanjang 21 tahun pembangunan, Miri terus berkembang sebagai bandar raya yang dinamik dan harmoni hasil kerjasama erat masyarakat pelbagai kaum.
“Miri Mayfest bukan sekadar acara hiburan, malah platform memperkukuh perpaduan komuniti menerusi pelbagai aktiviti kebudayaan, sukan dan sosial,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran tersebut.
Menurutnya, Miri Mayfest juga menjadi wadah menyatukan komuniti tanpa mengira latar belakang di samping menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sihat dan bermanfaat.
Sehubungan itu, Adam Yii menggesa orang ramai mengambil peluang menyertai program yang dianjurkan sepanjang sambutan berlangsung selain menyokong bakat tempatan dan aktiviti ekonomi komuniti.
“Karnival ini dijangka memberi impak positif terhadap sektor pelancongan, pelibatan belia serta kesejahteraan masyarakat setempat.
“Miri Mayfest mampu memperkukuh imej Bandaraya Miri sebagai bandar raya progresif, inklusif dan mesra pengunjung,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur yang diketuai Sean Huang Hong Siong serta semua pihak yang terlibat menjayakan sambutan tersebut.
Sambutan Miri Mayfest 2026 berlangsung dari 20 hingga 24 Mei ini di Bangunan Majlis Bandaraya Miri dengan pelbagai pengisian menarik termasuk program interaktif, pameran, jualan, persembahan kebudayaan dan hiburan pentas yang dibuka secara percuma kepada orang ramai.

