MIRI: Pengguna bas di bandar raya ini kini boleh menjejak perjalanan bas secara masa sebenar selepas pelancaran Aplikasi Pengangkutan Pintar Sarawak (SSTA) — satu langkah baharu ke arah menjadikan Miri bandar pintar dan mesra pengguna.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, inisiatif tersebut sejajar dengan visi mobiliti hijau Sarawak yang menekankan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan awam.
“Aplikasi ini membolehkan pengguna mendapatkan maklumat masa sebenar mengenai lokasi bas, anggaran waktu ketibaan serta sambungan laluan — semuanya dalam satu platform mudah alih,” katanya pada sidang media selepas melancarkan SSTA di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa aplikasi tersebut dibangunkan sepenuhnya oleh Karuna Sarawak Enterprise Sdn. Bhd. dengan sokongan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) di bawah inisiatif kerjasama awam-swasta (PPP).
“Sistem digital ini menggabungkan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT), pengesan GPS dan kamera pengira penumpang bagi meningkatkan pengalaman pengguna.
“Selain memberi kemudahan kepada penduduk tempatan, aplikasi ini juga memberi manfaat kepada pelancong yang berkunjung ke Miri, terutamanya dalam mengesan perkhidmatan bas percuma yang disediakan,” tambahnya.
Menurut beliau, kementerian akan mengumpul maklum balas pengguna selepas pelancaran bagi menambah baik fungsi aplikasi agar lebih mesra pengguna dan efisien.
“Matlamat kita ialah menjadikan aplikasi ini sebahagian daripada ekosistem Bandar Pintar Miri,” ujarnya.
Untuk makluman, SSTA kini boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store, dan penggunaannya akan diperluas ke seluruh Sarawak selepas pelaksanaan perintis di Miri menunjukkan hasil positif.


