Miriek antara bahasa tertua ditutur di dunia

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima sebuah buku berjudul Bup Iddeh Itai daripada rombongan Persatuan Jatti Miriek Miri, di sini semalam.

Buku itu merupakan daftar kata bahasa Miriek yang mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

Ia juga hasil karya persatuan berkenaan sendiri dan disampaikan oleh Presidennya Datuk Abdillah Abdul Rahim pada sesi kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia, semalam.

Selain itu, pertemuan itu turut membincangkan aktiviti yang dijalankan oleh persatuan berkenaan serta beberapa perkara lain berkaitan.

Turut serta Naib Presiden Rosiah Ali dan ahli jawatankuasa yang lain.

Untuk rekod, Jatti Miriek satu daripada komuniti tertua di negara ini dan dikatakan datang ke Sarawak sejak 200 atau 300 tahun lalu manakala Miriek pula berasal daripada perkataan Miri.

Terdapat kira-kira 10,000 masyarakat Miriek yang kebanyakannya menetap di utara Sarawak dan Brunei Darussalam.

Menurut penyelidik, bahasa Miriek antara bahasa tertua yang dituturkan di dunia dan satu daripada bahasa etnik di dunia yang sedang berdepan ancaman kepupusan.

Seorang ahli akademik menyatakan kebimbangannya dengan bahasa Miriek yang merupakan bahasa kumpulan minoriti di Asia Tenggara, mungkin pupus disebabkan oleh bilangan penutur yang semakin mengecil terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Suara Sarawak