Misi Amri menang semua aksi menjelang Liga Premier 2020

BEKAS penyerang Malaysia, JDT dan Selangor, Amri Yahyah menjanjikan kemenangan demi kemenangan buat pasukan baharunya, Sarawak United FC 1. Sebagai pemain paling berpengalaman dalam kancah Liga Malaysia serta pernah meraih semua trofi (Piala Malaysia, Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih) Amri mempunyai ramuan tersendiri untuk membantu SUFC 1.

“Kita akan fokus dalam setiap perlawanan yang dilalui. Saya berharap rakan sepasukan memberi bantuan untuk menang setiap perlawanan,” katanya. “Kita perlu memberi kepercayaan kepada penyokong dan saya berharap SUFC 1 mampu pergi lebih jauh,” ujar Amri.

Walaupun sudah berusia 39 tahun, namun Amri masih lagi diiktiraf sebagai antara penyerang terbaik di Malaysia, di samping penyerang senior lain seperti Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo. Antara pemain Malaysia seangkatan Amri yang masih beraksi dalam Liga Malaysia ialah Shukor Adan, 40 dan Indra Putra Mahyudin, 39. Kedua-duanya menyertai skuad Kuala Lumpur.

Amri yang enggan menyambung kontrak dengan Selangor November lalu melahirkan rasa gembira apabila diberi kepercayaan untuk membantu pasukan SUFC 1. “Alhamdulillah… saya memang dilamar, dan syukur kepada pengurusan SUFC 1 yang berminat dengan saya. “Saya berharap dapat membantu pasukan ini pergi lebih jauh,” katanya.

“Alhamdulilah semua pemain kenal saya… saya sedaya upaya masuk dalam jenaka mereka. Saya berharap cepat berkomunikasi dengan mereka,” ujar Amri. “Bagi saya tidak ada beza walaupun anda menyertai pasukan yang berbeza. Ini kerana saya tetap bermain bola sepak, cuma pasukan yang tidak sama. “Kalau boleh saya berharap dapat jumpa pasukan Selangor… dan dapat kalahkan mereka,” ujarnya.

Amri telah pun hampir dua minggu bersama-sama pasukan SUFC 1 yang kini berada di Semenanjung Malaysia bagi menghadapi aksi persahabatan pramusim. Mereka kalah 2-1 kepada Kuala Lumpur (Liga Premier) dalam aksi pertama dan tewas 5-0 kepada PDRM (Liga Super) dalam aksi kedua.

Suara Sarawak