MULU: Penyertaan Cef Robbie Richard Balcarek dan Cef Laura Sim dalam program bimbingan Serumpun In Motion Mentee melahirkan generasi baharu cef bumiputera Sarawak yang mengangkat warisan sambil meraikan inovasi kulinari global.
Menurut satu kenyataan, program tersebut merupakan sebuah inisiatif di bawah Gerakan Serumpun Sarawak yang diterajui tokoh kulinari antarabangsa, Cef James Won.
“Program ini bukan sekadar bimbingan, tetapi sebuah pelaburan untuk masa depan Sarawak menerusi latihan intensif, penghayatan budaya dan pendedahan antarabangsa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, mentee seperti Cef Robbie yang berbangsa Bidayuh dan Cef Laura sebagai wakil komuniti Iban bakal dipersiapkan untuk mengetuai gelombang baharu kecemerlangan kulinari bumiputera.
“Di bawah tunjuk ajar Cef Won, mereka akan mengangkat falsafah bahawa ‘makanan adalah identiti, dan identiti ialah legasi.’
“Perjalanan mereka bersama Serumpun Sarawak bukan sahaja memperkukuh representasi masakan Bidayuh dan Iban, malah menginspirasikan generasi baharu cef Sarawak untuk berbangga dengan akar budaya sambil berwawasan global,” tambahnya.

Mengulas lanjut, katanya, Cef Won merupakan Pengasas Bersama dan Penjaga Visi Serumpun Sarawak yang membentuk misi untuk memelihara, memperkasa dan mengglobalisasikan warisan kulinari bumiputera Sarawak.
“Cef Won pernah menimba ilmu di dapur Michelin bertaraf tiga bintang di Perancis dan Jepun.
“Beliau juga diiktiraf di peringkat antarabangsa atas pencapaiannya, termasuk menerima anugerah Chevalier (Ordre du Mérite Agricole) oleh Republik Perancis atas sumbangan besarnya kepada gastronomi dalam industri Makanan dan Minuman (F&B) Perancis,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu, menerusi Serumpun Sarawak, Cef Won menggabungkan kearifan bumiputera, gastronomi moden dan kelestarian dalam ‘penceritaan kulinari’, menjadikan makanan sebagai medium diplomasi budaya.
“Bimbingannya bukan sahaja memberikan kemahiran bertaraf dunia, tetapi juga menanamkan nilai pemeliharaan warisan, kreativiti dan representasi budaya,” ujarnya.
Menurutnya, pemilihan kedua-dua cef tersebut menjadi lambang kesatuan dalam kepelbagaian budaya Sarawak, sekali gus menyambung misi Cef Won untuk menjambatani warisan dengan inovasi serta mendefinisi semula maksud memasak, “dari bumi, untuk dunia.”
“Pemilihan Cef Laura Sim dalam program ini mencerminkan komitmen Serumpun Sarawak untuk memperkasa cef bumiputera yang mengekalkan keaslian rasa Sarawak sambil membawa pendekatan kulinari moden.
“Beliau merupakan seorang pejuang masakan bumiputera yang berpengalaman dan ahli Warisan Kulinari dan Persatuan Kesenian Sarawak (CHASS).
“Cef Laura telah lama dikenali atas dedikasinya dalam mempromosikan bahan tempatan serta teknik memasak tradisional,” katanya.
Sementara itu, Cef Robbie dari Bau yang merupakan cef belajar sendiri serta pengasas Little Fairy Café di Padungan, Kuching, menyifatkan peluang ini sebagai detik penting dalam kerjayanya.
“Sebelum ini saya pernah meraih Pingat Emas Berganda di Malaysia Culinary World Cup 2025 dan mewakili Sarawak serta Borneo dalam China (Linyi) Showcase.
“Kini, melalui Program Mentorship Serumpun In Motion, saya terus memperjuangkan usaha memodenkan masakan Bidayuh,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan pengalaman berguru dengan Cef Won sebagai pengalaman yang membuka minda dan satu penghormatan untuk menimba ilmu daripada tokoh sepertinya.
“Pengalaman ini mengingatkan saya bahawa akar budaya kita bukanlah batasan, sebaliknya ia adalah kekuatan terbesar kita,” jelasnya.



