ARTIKEL

Fatimah (tengah) menyaksikan Mang Tiam (kiri) menyerahkan Van Penyayang kepada Sung Huo (kanan) di Pusat KLCS.

Misi bantuan harus dilaksanakan dengan berkesan — Fatimah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pertubuhan kebajikan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak perlu terus mengekalkan integriti dan kepercayaan masyarakat yang tinggi bagi memastikan misi bantuan komuniti dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, keyakinan orang awam terhadap ketelusan sesebuah NGO merupakan kunci utama yang menggerakkan penderma dan pihak swasta untuk tampil menghulurkan bantuan.

“Apabila sesebuah NGO berjaya membina kepercayaan kukuh dalam kalangan masyarakat, ia tidak akan berdepan kesukaran untuk mendapatkan dana atau aset sokongan seperti kenderaan dan peralatan perubatan,” katanya selepas menyaksikan penyerahan Van Penyayang di Pusat Penjagaan Hospice dan Paliatif, Pertubuhan Pemeliharaan Hayat Kuching (KLCS), Desa Wira, Batu Kawa, hari ini.

Fatimah turut memuji sifat pemurah penderma, Chan Mang Tiam dari Mukah, yang sudi menyumbangkan sebuah van untuk kegunaan KLCS di Kuching.

“Sumbangan berskala besar ini membuktikan hasrat membantu tidak terhalang oleh jarak geografi. Walaupun berasal dari Mukah, beliau memilih menyumbang kepada KLCS kerana melihat impak serta kerja murni yang dilakukan NGO ini dalam mengendalikan pesakit,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi keluhan masyarakat luar bandar yang sering berdepan cabaran logistik untuk mendapatkan rawatan di hospital utama seperti Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Pengangkutan adalah keperluan kritikal bagi penduduk luar bandar. Perkhidmatan KLCS bukan sahaja membantu menghantar pesakit, malah menguruskan penghantaran pulang jenazah ke kampung halaman tanpa mengira agama,” tambahnya.

Sementara itu, wakil KLCS, Huang Sung Huo mendedahkan persatuan itu kini memiliki 10 kenderaan pengangkutan untuk menyokong operasi harian, merangkumi lapan ambulans bukan kecemasan, sebuah van mesra Orang Upaya (OKU) yang bakal tiba, serta Van Penyayang baharu diterima hari ini.

Pusat yang mempunyai kapasiti penuh 58 katil itu turut menjalinkan kolaborasi strategik bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan menyediakan 35 katil khusus bagi perkhidmatan jagaan paliatif dan hospis fasa pertama.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU