ARTIKEL

Datuk Snowdan (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama finalis Miss Tourism Sarawak 2026 di sini, hari ini | Foto: Ramidi Subari

Miss Tourism Sarawak perlu angkat kepelbagaian 34 suku kaum Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Miss Tourism Sarawak 2026 berpotensi menjadi platform untuk mengetengahkan kepelbagaian 34 suku kaum di Sarawak kepada masyarakat tempatan dan pelancong antarabangsa.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, kepelbagaian etnik, budaya, seni dan tradisi negeri itu merupakan antara aset pelancongan yang perlu terus dipelihara dan dipromosikan.

Simbolik pelancaran Miss Tourism Sarawak 2026 yang disempurnakan oleh Datuk Snowdan Lawan di sini, hari ini | Foto: Ramidi Subari

Beliau berkata, Sarawak mempunyai 34 suku kaum yang telah diwartakan di bawah Ordinan Sarawak, termasuk beberapa suku kaum yang kurang dikenali masyarakat umum.

“Penting terutama anak-anak muda, mereka mesti tahu mengenai suku kaum yang ada di Sarawak, bukan sahaja nama-nama besar seperti Melayu, Cina, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

“Sub-etnik Orang Ulu sendiri banyak dan terdapat juga suku kaum yang kecil bilangannya seperti Kiput, Lahanan, Kejaman dan lain-lain.

“Sehubungan itu, kepelbagaian etnik ini bukan sekadar menjadi identiti Sarawak, malah mempunyai nilai besar dalam pembangunan pelancongan budaya negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Miss Tourism Sarawak 2026 di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, katanya, Miss Tourism Sarawak boleh membantu membawa elemen budaya dan warisan Sarawak sebagai sebahagian daripada promosi pelancongan, bukannya sekadar menjadi latar belakang pertandingan.

“Apabila kita bercakap mengenai Sarawak sebagai destinasi pelancongan, kita bukan hanya bercakap tentang tempat menarik, tetapi pengalaman, budaya, masyarakat, seni dan tradisi serta cerita Sarawak yang ingin kita kongsikan kepada dunia,” katanya lagi.

Miss Tourism Sarawak 2026 menghimpunkan 17 finalis tempatan Sarawak serta delegasi antarabangsa, antaranya dari Indonesia, Korea Selatan, Bangladesh, Zambia dan Republik Czech.

Justeru, kata Snowdan, 17 finalis tempatan Miss Tourism Sarawak 2026 perlu memahami terlebih dahulu budaya, warisan, masyarakat dan destinasi Sarawak sebelum membawa imej negeri itu ke luar.

Katanya, pemenang dan finalis pertandingan berkenaan berpotensi menjadi duta pelancongan Sarawak dengan membawa cerita mengenai kepelbagaian negeri itu kepada masyarakat di dalam dan luar negara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU