KOTA KINABALU: Enam wakil Sarawak mencatat pencapaian membanggakan pada pertandingan Mister and Miss Native Borneo (MNB) 2026.
MNB dalam kenyataan berkata, Melanie Melvy Bentong, 24, meraih tempat ketiga bagi kategori Miss Native Borneo 2026, manakala Siti Farhana Abida Mohammad Faizal Aziki, 23, menduduki tempat kelima.
“Dalam pada itu, Melanie turut menerima Anugerah Pilihan Ramai dan Anugerah Projek Impak Budaya Terbaik menerusi projek Hand of Hope yang memberi tumpuan kepada usaha menyebarkan kebaikan dan harapan kepada golongan memerlukan termasuk haiwan.
“Siti Farhana pula menerima Anugerah Potret Khas Alaiv,” katanya.
Bagi kategori Mister Native Borneo 2026, Abel Emmanuel Juman, 23, meraih tempat ketiga, diikuti Owenozzi Ansor, 27, yang menduduki tempat kelima.
“Camillus Sim Soon Teck, 33, memperoleh tempat keenam, manakala Mohd Khairul Azhar Daud, 33, menduduki tempat ketujuh,” katanya.
Tambahnya, wakil Sarawak turut menyerlah menerusi beberapa anugerah khas yang mengiktiraf usaha mereka dalam mempromosikan budaya dan menyumbang kepada komuniti.
“Owenozzi berjaya memenangi Anugerah Pilihan Ramai, manakala Mohd Khairul meraih tempat ketiga dalam Anugerah Video Impak Budaya Terbaik atas sumbangannya mempromosikan kesedaran budaya melalui penceritaan video.
“Camillus berjaya mara ke kelompok lima peserta terbaik dalam Cabaran Bersemuka bagi pusingan kedua, sekali gus berpeluang menyampaikan idea dan mengetengahkan usaha advokasi komuniti pada peringkat antarabangsa,” jelasnya.
MNB 2026 yang bertemakan “Echoes of Culture, Heart for Communities” menghimpunkan peserta akhir dari Sarawak, Sabah dan Labuan di Malaysia, Kalimantan di Indonesia serta Brunei Darussalam.
Pertandingan itu bertujuan meraikan kepelbagaian budaya dan warisan Borneo, selain menggalakkan penghargaan budaya, pelibatan komuniti serta hubungan rentas sempadan.
“Penyertaan wakil Sarawak membantu memperkenalkan warisan negeri kepada khalayak lebih luas.
“Ia juga menggalakkan generasi muda menghargai akar budaya sendiri dan menghormati tradisi masyarakat lain,” katanya.



