Misteri wanita bergelang tembaga

KUCHING: Mural bertajuk The Last Ringed Ladies yang kini dalam proses penghasilan oleh pelukis mural Leonard Siaw di bangunan bekas pusat beli-belah Giant Batu 10 kini bakal menjadi satu tarikan terbaru di Sarawak dengan memaparkan keunikan etnik Bidayuh di negeri ini.

The Last Ringed Ladies mengisahkan wanita yang memakai gelang tembaga dari pergelangan tangan hingga ke siku.

Malah ada yang memakainya hingga menutupi seluruh betis.

Ia adalah aksesori wajib wanita suku kaum Bidayuh – dikenali sebagai wanita Semban – ada ketikanya memakainya tidak kira masa termasuk ketika mandi dan tidur.

Mural ini merupakan hasil usaha Ng Production yang diterajui Evangeline Thian melalui hasil kerjasama Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, beliau cukup berbangga dengan usaha Ng Production tersebut kerana hadir dengan idea sedemikian bagi mengabadikan lukisan mural lima wanita Bidayuh dari kawasan Padawan.

“Mulanya, kita berjumpa Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan menyokong projek ini.

Tambahan juga ada sokongan daripada MPP termasuk perbincangan dua hala dengan pemilik bangunan ini.

“Lukisan mural ini bakal menjadi satu tarikan baharu Padawan.

Sudah tentu pelancong ingin mengetahui misteri wanita Semban yang berpotensi menjadi produk pelancongan terbaik di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam lawatannya ke tapak lukisan mural berkenaan dan melihat perkembangan terkini proses lukisan mural tersebut di sini semalam.

Wanita yang berumur 69 hingga 94 tahun di Padawan masih memakai gelang unik itu.

Menariknya kini tinggal empat sahaja wanita yang masih mengekalkan keunikan itu.

“Sekurang-kurangnya dengan lukisan ini, kita tidak kehilangan sebahagian budaya yang cukup unik bagi etnik Bidayuh.

“Mural ini sangat penting supaya generasi muda mengenang budaya ini.

“Kita juga mahu kekalkan keunikannya tersebar ke dunia luar.

“Oleh itu mural tambahan adanya video dan teknologi yang akan kita hasilkan tidak lama lagi. Biar masyarakat dapat mengenali dan memahami gaya hidup dan misteri wanita memakai gelang ini,” katanya.

Jelasnya lagi, melalui misteri wanita bergelang tembaganya tersebar ke dunia luar.

“Oleh itu mural tambahan adanya video dan teknologi yang akan kita hasilkan tidak lama lagi. Biar masyarakat dapat mengenali dan memahami gaya hidup dan misteri wanita memakai gelang ini,” katanya.

Jelasnya lagi, melalui lukisan mural di bangunan bekas pusat beli-belah Giant Batu 10 itu bakal menjadi satu tarikan kepada aktiviti perniagaan baharu yang akan menggunakan bangunan tersebut.

“Kita ketahui dengan Covid-19 ini, pusat beli-belah Giant antara yang terkesan.

Bagaimanapun, ia tidak mematikan fungsi bangunan ini “Jadi, saya yakin akan ada aktiviti perniagaan baharu dan yang penting mural ini menjadi tarikan unggul di Padawan,” katanya.

Kota Padawan mempunyai keluasan 984 kilometer persegi dan dihuni oleh 273,485 jiwa.

Untuk sampai ke sini, ia mengambil masa kira-kira 45 minit perjalanan darat dari bandar raya Kuching.

Ia memiliki majlis perbandarannya sendiri dan pelbagai aktiviti perniagaan aktif di kota ini.