ARTIKEL

Kredit: BERNAMA

MITI komited segera laksanakan pelaburan jana limpahan ekonomi, cipta 127,000 peluang kerja

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pelaburan diluluskan secara segera dan disiplin, penting bagi menjana limpahan ekonomi untuk perusahan kecil dan sederhana (PKS) tempatan selain penciptaan 127,000 peluang pekerjaan kepada rakyat, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Malah, MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang berusaha merealisasikan sepenuhnya pelaburan yang diluluskan bagi 2023 yang berjumlah RM329.5 bilion iaitu peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding 2022.

Jumlah pelaburan diluluskan itu membabitkan sebanyak 5,101 projek dan berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan negara.

“Daripada jumlah tersebut, pelaburan asing (FDI) menjadi penyumbang utama sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik (DDI) sebanyak 42.8 peratus.

“Peningkatan 35.1 peratus bagi DDI turut mencerminkan keyakinan memberangsangkan oleh pelabur tempatan terhadap dasar-dasar ekonomi Kerajaan MADANI,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Beliau bertanyakan mengenai status terkini pelaburan sebanyak RM170 bilion hasil daripada lawatan kerja rasmi ke China pada April 2023 dan jumlah yang dilaburkan setakat hari ini.

Mengulas selanjutnya, MITI berkata potensi pelaburan dianggarkan bernilai RM170 bilion berjaya diraih hasil daripada persidangan, mesyuarat meja bulat serta Forum Perniagaan Malaysia-China menerusi Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke China pada 29 Mac-3 April, 2023.

Selain itu, agensi di bawah MITI seperti Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) juga sedang berusaha melatih seramai mungkin pekerja tempatan menerusi program seperti Academy in Industry (AiI) bagi memenuhi permintaan bakat berkualiti dan terlatih oleh industri berteknologi dan berimpak tinggi.

“Sehingga Februari 2024, MPC berjaya menempatkan dan meningkatkan kemahiran sebanyak 2,665 belia yang tidak berpeluang ke institusi pengajian tinggi untuk mendapat pekerjaan atau meningkatkan keupayaan, sekali gus meraih manfaat dari pelaburan yang direalisasikan di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, MITI berkata aspek pelaksanaan yang berdisiplin menjadi antara fokus utamanya bagi tahun ini.

“Justeru, MITI dan MIDA sentiasa komited dalam memberi khidmat nasihat, sokongan dan pemudahcaraan kepada bakal pelabur bagi memastikan pelaksanaan projek-projek yang diluluskan dapat direalisasikan secepat mungkin,” katanya.

Malah, penekanan dari segi pelaksanaan itu menyaksikan MITI bertindak menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Pelaksanaan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) yang dipengerusikan oleh Menteri MITI bagi menyelesaikan segera isu-isu dan halangan pelaksanaan berkaitan pelaburan dan perdagangan.

Ini khususnya pelaburan-pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi, termasuk tumpuan untuk mempercepat pelaksanaan sesebuah projek pelaburan.

Pada masa sama, MITI berkata penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia dan Pejabat Pelaksanaan Projek dan Fasilitasi di MIDA, turut membantu mempercepatkan proses kelulusan dan pelaksanaan projek-projek pelaburan.

“Pelbagai projek perkilangan yang secara umumnya mengambil masa 18-24 bulan untuk disiapkan, berjaya dilaksanakan dalam tempoh kurang daripada 18 bulan.

“Antara projek yang berjaya dilaksanakan segera adalah Enovix Malaysia Sdn Bhd yang membangunkan fasiliti pengilangan bateri silikon karbid melibatkan pelaburan sejumlah RM5.8 bilion (US$1.2 bilion) dalam tempoh 15 tahun,” katanya. — BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

PBB China sokong Palestin anggotai PBB

BEIJING: China menyokong Palestin menjadi anggota baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyokong Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengambil tindakan berkenaan dengan secepat mungkin. Ini dinyatakan