KUCHING: Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak (MITSA) terus menunjukkan komitmen dalam membangunkan modal insan apabila menganjurkan Program Motivasi dan Bimbingan Peluang Pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako di sini, pagi tadi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata program itu memberi penekanan kepada peningkatan prestasi akademik selain membantu pelajar mengenal pasti peluang melanjutkan pengajian.

Tambahnya, antara pengisian utama program ialah bimbingan dalam mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris, selain penerangan mengenai program pengajian yang ditawarkan UiTM serta syarat kemasukan bagi bidang berkaitan.
“Program ini bukan sahaja memberi motivasi, tetapi turut menyediakan bimbingan dalam mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris serta penerangan mengenai program pengajian yang ditawarkan oleh UiTM,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan program di SMK Bako, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Presiden MITSA, Wan Idris Wan Ibrahim; Timbalan Rektor (Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri) UiTM Sarawak, Profesor Ir. Dr. Juferi Idris; Pegawai Pendidikan Daerah Kuching, Dr. Majelan Sulong; Pengetua SMK Bako, Mohd Firdaus Abdullah dan tetamu kehormat lain.
Pada masa sama, Nancy memberitahu penglibatan alumni dalam program seumpama itu membuktikan peranan mereka tidak terhad kepada hubungan sesama bekas pelajar, sebaliknya turut merangkumi usaha menyumbang ilmu, pengalaman dan kepakaran kepada masyarakat.

Menurutnya, MITSA sudah melaksanakan program motivasi dan bimbingan seumpama itu di beberapa lokasi di Sarawak sejak 2005, termasuk Bintulu, Mukah, Lawas, Simunjan, Saratok dan Miri.
Jelas beliau lagi, program kali ini turut mendapat kerjasama UiTM Cawangan Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Pejabat Pendidikan Daerah Kuching, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sarawak, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Santubong, pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bako.
“Setiap tahun kami mengadakan program di kawasan berbeza di Sarawak dan kali ini kita memilih SMK Bako, yang merupakan antara sekolah yang menunjukkan prestasi baik.
“Kita mahu mereka mengekalkan prestasi berkenaan dan terus berusaha meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan,” ujarnya.
Selain bimbingan akademik, katanya, pelajar turut mendapat sokongan dalam aspek psikologi bagi membantu mereka membina keyakinan diri serta membuat persediaan lebih baik untuk menghadapi cabaran pendidikan dan kehidupan.
Selain itu, Nancy berkata, MITSA turut menyumbangkan kalkulator kepada SMK Bako untuk kegunaan pelajar yang memerlukannya, khususnya sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.
Menurutnya, pendidikan menjadi antara asas penting dalam pembangunan kapasiti dan modal insan kerana mampu membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan serta membantu keluarga keluar daripada kitaran kemiskinan.
“Pendidikan bukan sekadar untuk mendapatkan keputusan cemerlang, tetapi membuka peluang kepada pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan membantu sesebuah keluarga membina kehidupan yang lebih baik,” tegasnya.




