BINTULU: Kumpulan Syarikat Malaysia LNG (MLNG) melaksanakan Program Memacu Kehidupan Bantuan Bencana Kebakaran sebagai satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat mereka bagi membantu mangsa kebakaran di Sungai Plan.
Kejadian kebakaran yang berlaku pada 7 April itu mengakibatkan 18 sekeluarga kehilangan tempat tinggal dan harta benda.
Susulan insiden tersebut, pihak MLNG tampil menghulurkan bantuan segera dalam bentuk barangan keperluan seperti tilam, bantal, peralatan pembersihan, kelengkapan persekolahan serta makanan dan minuman.
MLNG dalam satu kenyataan memberitahu, sumbangan tersebut bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa selain membantu mereka memulakan kehidupan selepas musibah tersebut
“Sebagai sebahagian daripada komuniti Bintulu, kita terpanggil untuk membantu mereka yang terkesan.
Kami berharap sumbangan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mangsa yang terlibat,” katanya.
Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan MLNG dalam menyokong kesejahteraan masyarakat setempat, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan dan bencana.
Dalam pada itu, penerima bantuan melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan pihak MLNG serta berharap lebih banyak pihak tampil memberi sokongan dalam masa sukar ini.



