KUCHING: Timbalan Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM) merangkap Pengasas Bersama Malaysiakini, Premesh Chandran menyeru semua organisasi media, agensi kerajaan dan pengamal media agar bersama-sama memperkukuh peranan majlis itu sebagai badan kawal selia kendiri yang bebas dan berwibawa.
Menurutnya, pengiktirafan yang diberikan kerajaan terhadap MMM merupakan perkembangan positif dalam memperkukuh kebebasan media serta profesionalisme kewartawanan di negara ini.
“Saya berasa amat teruja dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang baru-baru ini menggesa kerajaan, agensi kerajaan serta pihak berkuasa penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya bekerjasama dengan Majlis Media Malaysia sekiranya timbul sebarang isu yang melibatkan ahlinya.
“Pengiktirafan ini amat penting kerana mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat bahawa pertikaian membabitkan wartawan sewajarnya ditangani terlebih dahulu melalui pematuhan kepada standard profesional dan mekanisme kawal selia kendiri yang bebas sebelum sebarang tindakan berbentuk hukuman diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Tadbir Urus Media: Keseimbangan Kebebasan, Tanggungjawab dan Kandungan Awam’ sempena Persidangan Media Sarawak 2026 di Hotel Pullman, di sini, hari ini.
Premesh berkata, pengiktirafan daripada kerajaan perlu disertai dengan usaha berterusan untuk membina sebuah majlis media yang benar-benar berintegriti dan diyakini semua pihak.
“Jika kita mengharapkan kerajaan menghormati Majlis Media Malaysia, kita juga perlu membina sebuah majlis yang benar-benar layak menerima penghormatan tersebut.
“Usaha itu tidak mampu dilaksanakan secara bersendirian,” katanya.
Beliau turut memuji peningkatan penyertaan organisasi media dari Sarawak ke dalam MMM.
Sehubungan itu, beliau menggesa lebih banyak organisasi media, wartawan, wartawan bebas serta anggota pertubuhan masyarakat sivil yang berminat dalam bidang media supaya menyertai MMM.

