KUALA LUMPUR: Kerajaan mengekalkan moratorium eksport bahan mentah unsur nadir bumi (REE) yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2024 bagi menggalakkan pembangunan industri pemprosesan dalam negara dan mengurangkan kebergantungan kepada eksport sumber mineral mentah.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kerajaan bagaimanapun menyediakan mekanisme pertimbangan eksport REE secara terhad dan bersyarat bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemprosesan, susulan keputusan Jemaah Menteri pada 15 Julai lepas.
“Dasar ini memberi penekanan kepada pembangunan keseluruhan rantaian nilai industri mineral negara iaitu merangkumi aktiviti perlombongan di peringkat huluan, pemprosesan dan pengasingan unsur di peringkat pertengahan dan penghasilan produk bernilai tambah tinggi di peringkat hiliran,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai tempoh pemuktamadan dasar menyeluruh pembangunan industri REE negara untuk dibentangkan kepada Parlimen, termasuk pendirian kerajaan berhubung eksport bahan mentah, pemindahan teknologi, pemprosesan hiliran, perlindungan alam sekitar dan perkongsian hasil dengan negeri serta komuniti setempat.
Syed Ibrahim berkata pembangunan industri REE negara berpendukan Dasar Mineral Negara Ketiga yang dipersetujui Jemaah Menteri pada 17 Januari 2024, dengan tumpuan kepada keseluruhan rantaian nilai daripada perlombongan, pemprosesan dan pengasingan sehingga penghasilan produk bernilai tambah tinggi.
Beliau berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) turut mengeluarkan garis panduan pertimbangan permohonan eksport REE mentah pada 1 Oktober lepas, bagi memastikan sebarang eksport diluluskan menyokong pembangunan teknologi, penguasaan kepakaran dan pembinaan kemudahan pemprosesan tempatan.
Syed Ibrahim berkata semua aktiviti perlombongan REE perlu mematuhi perundangan dan syarat kelulusan berkaitan termasuk Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) serta Skim Pengendalian Melombong (OMS).-Bernama



