KUCHING: Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol memberi jaminan untuk mengangkat isu berkaitan pindaan had umur dan kuota penyertaan atlet dalam sukan Para SUKMA 2026 ke Mesyuarat Pasca-Kabinet pada esok.
Menurutnya, perhatian diberikan kepada perkara tersebut setelah memahami keperluan dan kepentingan untuk mengekalkan peraturan sebelum ini.
“Isu ini sudah berlanjutan beberapa bulan yang lalu, cuma hari ini saya secara rasmi mendengar sendiri perbincangan bersama-sama pihak kementerian.
“Kita ambil maklum perkara ini dan menjadi tanggungjawab saya sebagai anak Sarawak untuk membawa isu-isu berbangkit, terutama di Sarawak agar dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sukan PARA SUKMA pada 2016 tidak menetapkan sebarang had umur kepada atlet yang bertanding.
“Had umur ditetapkan kepada 14 sehingga 45 tahun pada 2017 dan diteruskan sehingga 2024 setelah Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil alih.
“Pada tahun ini pula, had umur diturunkan lagi daripada 45 tahun kepada 40 tahun. Isu ini yang mendapat perhatian kita kerana akan memberi kesan kepada atlet di negeri ini,” jelasnya.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah mendedahkan bahawa pihaknya menyerahkan surat kepada Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkaitan isu berkenaan.
Fatimah mendedahkan bahawa rayuan dibuat supaya had umur kekal 45 tahun seperti yang ditetapkan pada Para SUKMA 2024 iaitu 14 hingga 45 tahun.

