ARTIKEL

Mordi Bimol

Mordi seru SPR laksana proses persempadanan secara telus, inklusif, berasaskan data awam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perkara yang lebih mendesak dan wajar dilakukan ketika ini ialah proses persempadanan semula kawasan pilihan raya yang adil dan menyeluruh, bukan sekadar menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol.

Menurutnya banyak kawasan Parlimen dan DUN hari ini melangkaui sempadan daerah dan kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyebabkan urusan pentadbiran, pembangunan dan penyelarasan menjadi tidak efisien.

“Contohnya, kawasan Parlimen Santubong merentasi dua daerah iaitu Daerah Kuching dan Daerah Lundu serta melibatkan kawasan PBT yang berlainan.

“Akibatnya, rakyat sering mengadu kesukaran mendapatkan maklumat, menyampaikan aduan atau berhubung dengan wakil rakyat kerana tiada pusat khidmat tetap yang boleh diakses secara praktikal dan dekat dengan mereka.

“Penambahan kerusi tanpa membetulkan asas sempadan yang sedia pincang hanya akan mengeruhkan lagi isu ketidakseimbangan agihan kawasan pilihan raya dan penyusunan semula kawasan pilihan raya secara manipulatif,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau berkata proses persempadanan mesti mengiktiraf kepelbagaian komposisi etnik dan keseimbangan jumlah penduduk kawasan bandar dan luar bandar.

“Tidak boleh ada satu kaum atau kawasan yang terlalu dominan diwakili, manakala yang lain semakin terpinggir.” katanya.

Justeru, Mordi menyeru agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan proses persempadanan secara telus, inklusif dan berasaskan data awam.

Tegasnya proses itu mestilah terbuka kepada pandangan rakyat, badan bukan kerajaan (NGO), pembangkang dan pakar bebas.

“Penambahan kerusi yang dilakukan secara unilateral tanpa konsultasi hanya akan mencetuskan ketidakpercayaan awam terhadap institusi demokrasi,” katanya.

Dalam pada itu, Mordi turut menggesa agar Kerajaan Persekutuan memulakan proses penambahan kerusi Parlimen Sarawak terlebih dahulu, iaitu antara 14 hingga 17 kerusi bagi mengembalikan nisbah asal satu pertiga perwakilan Sabah dan Sarawak dalam Dewan Rakyat seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963. 

BERITA LAIN

BERITA TERBARU