KUCHING: Bekas pemain tengah Kuching City FC, Moses Atede Jona kini meneruskan kariernya bersama Star City FC selepas kelab itu mengumumkan pemain berusia 28 tahun berkenaan sebagai rekrut baharu bagi memperkuat jentera tengah pasukan.
Star City FC menerusi hantaran di Facebook rasmi kelab memperkenalkan pemain kelahiran Nigeria itu sebagai pemain yang mempunyai pengalaman di Liga Super Malaysia dan pernah mewakili pasukan kebangsaan Bahrain.
“Tonggak antarabangsa telah tiba,” menurut hantaran itu yang mengalu-alukan kehadiran Moses ke pasukan berkenaan.
Moses meninggalkan Kuching City selepas memainkan peranan penting bersama The Cats sejak menyertai pasukan itu pada pertengahan musim 2024/25.
Pengalaman di Kuching itu kini dimanfaatkan Star City FC apabila Moses diberikan tanggungjawab mengemudi bahagian tengah pasukan dalam saingan musim ini.
Impaknya turut dilihat ketika Star City FC menentang Kedah FA di Stadium Darul Aman apabila kawalan permainan serta kualiti hantarannya membantu pasukan merencana gerakan serangan yang menghasilkan dua jaringan.
“Kehadiran Moses Atede di bahagian tengah ternyata membuahkan hasil yang positif buat pasukan dalam aksi menentang Kedah FA di Stadium Darul Aman,” menurut Star City FC.
Sepanjang tempoh bersama Kuching City, beliau merekodkan 53 penampilan dan lima bantuan gol dalam semua pertandingan, selain membantu pasukan menamatkan musim 2025/26 sebagai naib juara Liga Super dan mara ke final Piala Malaysia.
Moses mengakhiri perjalanan bersama Kuching City FC dengan penampilan dalam final Piala Malaysia 2025/2026 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei lalu.
Dalam saingan Liga Super, Moses merekodkan 14 penampilan pada musim 2024/25 sebelum tampil dalam 22 perlawanan pada musim 2025/26.
Moses sebelum ini turut mempunyai pengalaman bersama Kedah Darul Aman selain beraksi di Bahrain bersama Muharraq SC dan Sitra CSC sebelum menyertai Kuching City.

