KUCHING: Satu pasukan petugas dibentuk untuk melihat isu yang dihadapi oleh pemain industri perkapalan mengenai pendaftaran kapal dan pemeriksaan kapal yang melintasi perairan Sarawak.
Menteri Pengangkutan (MOTS) Datuk Seri Lee Kim Shin memberi jaminan bahawa kementeriannya akan membincangkan isu berkenaan dengan lebih lanjut bersama-sama pihak berkuasa persekutuan.
“Kini, kapal lebih 500 tan kasar (GT) mesti diperiksa oleh Pendaftaran Kapal Malaysia (KM), menyebabkan sedikit kesukaran kepada pemain industri perkapalan di Sarawak.

“Justeru, penting untuk menyelesaikan isu pendaftaran kapal dan pemeriksaan untuk kapal melebihi 500GT di perairan Sarawak bagi memudahkan pengangkutan barangan keperluan, terutama dalam masa sukar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan taklimat cadangan dan survei kapal di Hotel Imperial, di sini, hari ini.
Menerusi taklimat oleh Ships Classification Malaysia (SCM) mengenai pemeriksaan dan cadangan kapal, Kim Shin berkata MOTS telah mengumpulkan maklumat, pandangan dan cadangan daripada semua pihak berkepentingan untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Hari ini kami menganjurkan taklimat ini dan menjemput semua pihak berkepentingan bersama-sama bagi mendengar pandangan pemilik dan pembuat kapal serta daripada jabatan marin dan SCM.
“Sudah tiba masanya langkah diambil bagi menyelesaikan isu yang dihadapi oleh pemain industri perkapalan berhubung pendaftaran kapal dan pemeriksaan di perairan Sarawak.