ARTIKEL

Datuk Henry Harry Jinep

MOTS gerakkan 115 anggota penguat kuasa pantau keselamatan sungai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) akan menggerakkan seramai 115 anggota penguat kuasa bersama-sama 15 bot laju bagi memperhebat pemantauan keselamatan pengangkutan sungai sempena sambutan Hari Gawai Dayak 2026.

Operasi yang diselaraskan menerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) itu dilaksanakan dalam dua fasa iaitu dari 28 hingga 31 Mei serta 5 hingga 7 Jun ini berikutan peningkatan jumlah penumpang yang menggunakan pengangkutan sungai untuk pulang ke kampung halaman.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, operasi berkenaan akan memberi tumpuan di lokasi strategik termasuk terminal sungai dan jeti di seluruh Sarawak bagi memastikan tahap keselamatan pengguna sentiasa terjamin.

Beliau berkata, pengusaha bot diwajibkan memastikan setiap bot berada dalam keadaan selamat, dilengkapi peralatan keselamatan mencukupi serta memiliki Permit Pengangkutan Sungai yang sah.

“Pengusaha bot juga diingatkan supaya tidak membawa penumpang melebihi kapasiti yang ditetapkan kerana tindakan tegas boleh diambil di bawah Ordinan Sungai Sarawak 1993,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurut beliau, pelanggaran syarat keselamatan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Dalam pada itu, Henry Jinep turut menasihatkan penumpang yang menggunakan bot terbuka seperti bot panjang dan bot laju supaya sentiasa memakai jaket keselamatan sepanjang perjalanan sambil menambah bahawa pengendali bot bertanggungjawab memastikan semua prosedur keselamatan dipatuhi sebelum perjalanan dimulakan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan perjalanan sungai pada waktu malam terutama di laluan sempit, cetek atau kurang biasa digunakan selain sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan jeram, selekoh tajam dan lokasi yang mempunyai jarak penglihatan terhad.

“Pengendali bot juga diingatkan supaya tidak mengendalikan bot di bawah pengaruh alkohol kerana ia boleh mengundang risiko kemalangan serta membahayakan nyawa penumpang,” katanya.

Selain itu, katanya lagi, pengusaha bot tidak dibenarkan menaikkan kadar tambang sesuka hati sepanjang musim perayaan walaupun permohonan perjalanan tambahan boleh dipertimbangkan berdasarkan keperluan operasi dan permintaan semasa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU