KOTA SAMARAHAN: Susulan aduan yang diterima berhubung isu pembuangan sampah secara haram di sebuah tapak tanah persendirian, Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) menjalankan lawatan tapak dan pemantauan bersama-sama pihak berkaitan.
Lawatan tersebut melibatkan pemilik tanah, MPKS dan Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan bagi meninjau keadaan kawasan serta membincangkan langkah penyelesaian ke atas masalah pembuangan sampah di tapak berkenaan.


Hasil lawatan dan perbincangan, pemilik tanah bersetuju untuk mengambil beberapa tindakan bagi menangani isu tersebut, antaranya menutup jalan lorong yang menjadi akses ke kawasan berkenaan, memasang papan tanda amaran larangan membuang sampah serta menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pengalihan sampah di kawasan tersebut.
Selain itu, MPKS akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tindakan yang dipersetujui dilaksanakan dengan baik dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.


MPKS turut menyeru orang awam agar tidak melakukan pembuangan sampah secara haram atau di lokasi yang tidak dibenarkan kerana perbuatan tersebut boleh menjejaskan kebersihan, kesihatan awam dan kualiti persekitaran.
Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan isu pembuangan sampah dapat ditangani secara berkesan serta persekitaran di kawasan pentadbiran MPKS sentiasa bersih dan terpelihara.




